Musim tengkujuh antara salah satu punca yang mengakibatkan peningkatan mendadak terhadap penangkapan 200 ekor ular di Besut, Terengganu sejak awal November lalu.
Menurut kenyataan Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Besut, Ramlan Ros Wahid, kebanyakkan ular tersebut ditangkap selepas agensinya menerima aduan penemuan reptilia berbiasa itu di dalam rumah atau kandang ternakan penduduk.
Katanya, kebanyakan ular yang ditangkap adalah daripada spesies katan tebu, ganding wat, lidi, sawa tikus, sawa, tedung selar dan tedung senduk sembur.
“Peningkatan kes tangkapan ular di daerah ini berkait dengan habitat mereka telah ditenggelami air pada Monsun Timur Laut (MTL) ini.
“Ia mendorong haiwan reptilia terbabit berpindah sama ada menjadi tempat perlindungan baharu atau sumber makanan di penempatan manusia,” katanya.
Tambah beliau, kesemua ular yang berjaya ditangkap tersebur akan disimpan sementara dalam tempoh maksimum dua minggu di sarang khas terdapat di Pejabat APM Besut.
Reptilia itu kemudiannya akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.
Baca juga: