PETALING JAYA: Cadangan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal dilihat dapat mewujudkan suasana demokrasi yang lebih sihat di negara ini.
Menurut penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, langkah ini bukan sesuatu yang baharu, kerana banyak negara lain telah mengamalkan sistem sama bagi mengelakkan pemerintahan terlalu lama yang boleh membawa kepada kepimpinan bersifat autoritarian.
“Selain mengelakkan penyalahgunaan kuasa, sistem ini juga memastikan kesinambungan kepimpinan yang lebih segar dan relevan mengikut peredaran zaman,” katanya kepada Malaysia Bangkit.

Beliau juga menegaskan bahawa Malaysia perlu bersedia untuk melaksanakan perubahan ini bagi mengelakkan jurang kepimpinan yang besar pada masa akan datang.
“Sekiranya dua penggal sudah mencukupi untuk negara lain mencapai pentadbiran yang lebih teratur dan telus, Malaysia juga boleh mengadaptasi sistem ini bagi memastikan kepimpinan yang lebih dinamik dan progresif,” katanya lagi.
Cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun kembali menjadi perhatian apabila ia dibangkitkan dalam kongres tahunan DAP pada minggu lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan persetujuannya dan pelbagai pihak telah mengutarakan pandangan mereka, sama ada setuju mahupun tidak setuju.
Cadangan ini bukan isu yang baru dan pernah dimasukkan dalam manifesto Barisan Alternatif, iaitu gabungan PKR, PAS dan DAP pada 1998.
Baca juga: