PUTRAJAYA: Komitmen Kerajaan MADANI untuk meneruskan agenda reformasi institusi disifatkan sebagai langkah berani dan berprinsip dalam memperkukuh tadbir urus negara serta mengembalikan keyakinan rakyat terhadap sistem pentadbiran, kata Adam Adli dan Dr Taufiq Johari.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli menegaskan bahawa reformasi bukan sekadar slogan politik, sebaliknya menuntut keberanian untuk membetulkan kelemahan sistem sedia ada agar kuasa dapat dipertanggungjawabkan dan undang-undang dilaksanakan tanpa campur tangan.
“Cadangan seperti had dua penggal jawatan Perdana Menteri, pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, serta penubuhan Ombudsman merupakan antara langkah penting ke arah kerajaan yang lebih telus, adil dan bertanggungjawab,” katanya menerusi Facebook.
Menurut beliau, walaupun pelaksanaan perubahan itu mungkin mengambil masa, ia merupakan asas kepada reformasi sebenar yang diperlukan negara.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Dr Taufiq Johari berkata, komitmen serta ketegasan Kerajaan MADANI dalam melaksanakan pembaharuan tatakelola, selain keyakinan yang diberikan kepada generasi muda sebagai pemacu masa depan negara, amat dihargai.
“Pengumuman berkaitan reformasi institusi dan tatakelola, termasuk pemisahan kuasa Pendakwa Raya daripada Peguam Negara, had tempoh jawatan Perdana Menteri, penubuhan Ombudsman serta penggubalan Akta Kebebasan Maklumat, merupakan langkah berani yang mampu mengukuhkan kepercayaan rakyat,” katanya.
Dr Taufiq turut berpandangan bahawa langkah itu bukan sahaja memperkukuh integriti pentadbiran negara, malah meningkatkan keyakinan generasi muda terhadap sistem kerajaan.
“Generasi muda hari ini menuntut ketelusan, akauntabiliti dan keadilan, dan Kerajaan MADANI telah menjawab tuntutan itu melalui tindakan yang jelas dan tegas,” katanya.
Baca juga:








