Had tempoh jawatan PM perlu hujah rasional, bukan retorik negatif

PETALING JAYA: Isu mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun terus menjadi topik hangat, namun ia perlu dibincangkan secara matang dan beradab, menurut Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim.

Dalam kenyataannya di platform X, Kamil Munim mengkritik Ketua Dewan Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden kerana menggunakan pendekatan provokatif dan mendakwa Perlembagaan Persekutuan sedang diubah sesuka hati.

“Cadangan menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri bertujuan mengelakkan dominasi politik oleh individu tertentu dan seharusnya dibincangkan dengan fakta dan kewibawaan.

“Malangnya, beliau (Afnan) memilih untuk bersikap dangkal dan tidak berlandaskan fakta,” ujar Muhammad Kamil, sambil menambah bahawa PAS kelihatan semakin resah apabila proses demokrasi berjalan lancar di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan MADANI.

Beliau turut mempersoalkan tahap pemikiran yang memimpin sayap pemuda PAS hari ini, serta hala tuju kepimpinan parti itu di masa hadapan.

Beliau turut mencabar PAS untuk menjelaskan sama ada mereka menolak had penggal Perdana Menteri kerana ingin mengekalkan seseorang pemimpin tanpa batasan.

Kamil Munim menegaskan bahawa Malaysia bukan sebuah negara autokratik di mana keputusan boleh dibuat sewenang-wenangnya.

Menurutnya, sebarang pindaan Perlembagaan memerlukan sokongan dua pertiga ahli Parlimen serta perbahasan terbuka di Dewan Rakyat yang mengambil kira kepentingan rakyat.

Beliau juga menyatakan bahawa penolakan PAS terhadap Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2025 yang bertujuan memperkukuh institusi Parlimen dan mengurangkan pengaruh eksekutif jelas menunjukkan parti itu tidak benar-benar komited terhadap prinsip demokrasi.

“Kestabilan politik amat penting dan kita tidak boleh terperangkap dengan godaan kuasa hingga mengabaikan asas negara demokrasi.

“Rakyat telah menyaksikan bagaimana mereka gagal membawa perubahan ketika berkuasa selama 33 bulan sebelum ini,” tambahnya.

Terdahulu, Afnan Hamimi dalam satu hantaran di Facebook mendakwa Perlembagaan Persekutuan sedang diubah mengikut kehendak kerajaan tanpa pertimbangan yang wajar.

Namun, Kamil Munim menyeru agar isu ini dibincangkan dengan rasional demi kepentingan negara dan rakyat.

Anda Mungkin Berminat