PETALING JAYA: Dalam langkah yang mencerminkan komitmen terhadap reformasi, Kerajaan Madani di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan usaha untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.
Langkah itu selaras dengan prinsip tata kelola baik dan amanah rakyat dijangka membawa perubahan besar dalam landskap politik negara.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli menyatakan sokongan penuh terhadap inisiatif itu.
Menurut beliau, had tempoh itu bukan sahaja akan menghalang penyalahgunaan kuasa tetapi juga memastikan pentadbiran negara kekal segar dengan idea-idea baharu.
“AMK berdiri teguh di belakang usaha ini. Ini bukan perkara baharu kerana ini adalah janji Pakatan Harapan sejak PRU15,” katanya.
Adam Adli berkata, pindaan Perlembagaan yang diperlukan untuk melaksanakan reformasi itu memerlukan sokongan dua pertiga Ahli Parlimen.
Oleh itu, Adam Adli menyeru semua pihak, termasuk pembangkang untuk bersama-sama merealisasikan perubahan itu demi masa depan negara.
Jika berjaya, katanya, langkah itu akan meletakkan Kerajaan Madani dalam sejarah sebagai pentadbiran yang berani membawa perubahan sebenar.
“Inilah reformasi sebenar, inilah politik masa depan,” tambahnya.