Had tempoh PM bukanlah menentang ketetapan Allah

Oleh: Datuk Dr Suhaimi Ibrahim

ULASAN | Saya membaca kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Hj Abdul Hadi Awang yang menentang cadangan menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal dengan alasan ia membelakangi ketetapan Allah. Makanya saya terpanggil untuk memberi pandangan.

Cadangan menghadkan tempoh Perdana Menteri bukanlah perkara baru dalam perbincangan reformasi politik negara kita. Malah, PAS sendiri pernah menyokong idea ini pada zaman Barisan Alternatif sekitar tahun 1990-an. Saya tertanya-tanya, mengapa PAS kini menolak sesuatu yang mereka sendiri pernah perjuangkan? 

Saya juga melihat hujah Tan Seri Presiden yang membandingkan sistem khalifah dengan demokrasi moden sebagai tidak relevan. Sistem khalifah dan demokrasi moden mempunyai struktur yang sangat berbeza. Dalam demokrasi, pemimpin dipilih oleh rakyat melalui sistem pilihan raya.

Had tempoh Perdana Menteri adalah satu langkah penting mengelakkan pemusatan kuasa yang boleh membuka ruang kepada salah guna kuasa, dan kronisme. Negara jiran kita Indonesia, dengan penduduk muslim terbesar di dunia sejak reformasinya telah menghadkan tempoh dua penggal untuk jawatan Presiden. 

Negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Perancis, dan Korea Selatan telah lama mengamalkan sistem ini. Jika negara-negara ini melihat kepentingan had penggal dalam mengukuhkan demokrasi, mengapa Malaysia harus menolak? Bagaimana pula dengan negara Islam lain seperti Pakistan, Turki, Iran, membelakangi siapa pula ?

Lebih pelik, PAS bukan sahaja menolak had tempoh Perdana Menteri, tetapi sebelumnya juga tidak menyokong usaha reformasi parlimen; pindaan Perlembagaan Akta Perkhidmatan Parlimen sesuatu yang mereka sendiri pernah perjuangkan. Sikap tidak konsisten ini menunjukkan bahawa mereka lebih mementingkan strategi politik dengan bermain sentimen berbanding prinsip perjuangan.

Bagi saya, isu ini bukan soal mengutamakan siapa, apatah lagi membelakangi ketetapan Allah, seperti yang didakwa oleh Haji Hadi tetapi ini adalah soal menjaga sistem pentadbiran negara agar tidak disalahgunakan. Had tempoh Perdana Menteri memastikan pemimpin tidak terlalu lama berada di tampuk kuasa.

Saya percaya rakyat berhak mendapat kepimpinan yang dinamik dan bertanggungjawab.

Jika PAS benar-benar memperjuangkan keadilan dan tadbir urus baik, mereka sepatutnya menyokong langkah ini, bukan menolaknya dengan hujah yang mengelirukan, apatah lagi mempergunakan agama untuk matlamat politiknya.

Atau adakah Tan Sri Presiden mempunyai hasrat untuk menjadi PM seumur hidup?

***Penulis adalah pakar rujuk untuk pembangunan belia United Nations dan UNESCO

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat