Had Tempoh PM Dua Penggal: Langkah munasabah, selaras demokrasi – Pemuda AMANAH

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal dianggap langkah munasabah dan selaras dengan prinsip demokrasi yang diamalkan oleh negara-negara maju di seluruh dunia.

Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Danial Al-Rashid Haron Aminar Rashid berkata, pelaksanaan had dua penggal itu akan memperkukuh integriti kepimpinan, memupuk budaya politik bertanggungjawab dan memastikan pentadbiran yang bersih, stabil serta progresif.

“Negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Perancis dan Indonesia telah lama mengamalkan had penggal bagi pemimpin tertinggi mereka.

“Ini adalah langkah progresif untuk memastikan kepimpinan yang dinamik dan berdaya tahan,” katanya.

Beliau turut memberikan contoh, di mana Amerika Syarikat mengehadkan dua penggal selama empat tahun setiap penggal seperti yang termaktub dalam Pindaan ke-22 Perlembagaan mereka.

“Perancis jawatan Presiden dihadkan dua penggal berturut-turut, lima tahun setiap penggal untuk memastikan kestabilan politik.

“Indonesia menetapkan had dua penggal, lima tahun setiap penggal sebagai negara serantau yang penting dan Brazil mengehadkan dua penggal berturut-turut, empat tahun setiap penggal.

“Mexico dan Filipina pula hadkan satu penggal sahaja selama enam tahun tanpa peluang untuk bertanding semula bagi mengelakkan monopoli kuasa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Danial yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga turut mengkritik kenyataan Perikatan Nasional (PN) yang memperlekeh cadangan ini kerana ia tidak selari dengan prinsip demokrasi moden.

“Kuasa eksekutif perlu dihadkan untuk mengelakkan monopoli kuasa dan memastikan peralihan kuasa yang aman serta demokratik,” tegasnya.

Beliau juga menyindir PN dengan menyatakan bahawa mereka kekurangan calon baharu dan hanya bergantung kepada pemimpin sedia ada.

“Kerajaan Madani teruskan reformasi, tetapi PN masih terperangkap dengan isu lama tanpa solusi,” tambahnya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan sokongan terhadap gesaan DAP untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun atau dua penggal.

Beliau menekankan keperluan untuk berunding dengan parti lain bagi mencapai konsensus.

Anda Mungkin Berminat