Hadapi Negara Tua, Peruntukan RM1.26 Bilion Untuk Warga Emas

PARLIMEN |  Malaysia kini bersiap sedia menghadapi status negara tua menjelang 2043, dengan kerajaan memperkenal pelbagai langkah strategik untuk menjamin kesejahteraan hidup warga emas serta memperkukuh ekonomi penjagaan dan solidariti sosial.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan MADANI 2026 berkata, Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan 2025–2045 akan digubal sebagai pelan menyeluruh bagi menghadapi perubahan demografi yang pesat.

Rangka tindakan itu akan dilancarkan pada Sidang Kemuncak ASEAN “New Frontiers on Care Conference” yang bakal berlangsung November ini, sekali gus menandakan komitmen Malaysia sebagai peneraju serantau dalam isu penuaan sihat dan perlindungan sosial warga emas.

Bagi memperkukuh kebajikan golongan tersebut, kerajaan memperuntukkan RM1.26 bilion yang bakal memanfaatkan 180,000 warga emas di seluruh negara.

Peruntukan itu meliputi bantuan wang saku, sokongan sosioekonomi dan pengoperasian pusat aktiviti warga emas (PAWE) sebagai ruang interaksi, latihan dan penjagaan komuniti.

Langkah ini menandakan kesungguhan kerajaan MADANI memastikan warga emas terus hidup bermaruah dan aktif dalam masyarakat, seiring matlamat menjadikan Malaysia sebagai negara penyayang dan inklusif menjelang 2045.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat