PENGKALAN CHEPA: Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menceritakan pengalamannya bertemu Nabi Muhammad SAW dalam mimpi selepas menunaikan solat istikharah untuk menyelesaikan isu Sunni dan Syiah.
Dalam mimpi tersebut, Hadi mendakwa Rasulullah hadir di Kampung Rusila bersama dengan beberapa orang sahabat dengan kesan parut perang Uhud di wajah.
“Baginda datang terus bagi salam, dia sebut nama saya, Assalamualaikum Ya Abdul Hadi.
“Saya pun peluk dia, memang wangi baunya, kemudian dia berkata pada saya dalam bahasa Arab, yang dia nak bercakap dengan orang Sunni dan orang Syiah,” katanya pada Ijtimak Tarbawi Dewan Pemuda PAS Malaysia 10.0 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik), semalam.
Dalam mimpi itu juga, Hadi mendakwa ketika beliau dan Rasulullah tiba di hadapan Masjid Rusila, terdapat bangkai anjing yang tidak dibuang.
“Saya nak marah dekat budak-budak muda Rusila sebab tak buang bangkai anjing, malu dekat Rasulullah. Nabi datang ada bangkai anjing tak dibuang.
“Kemudian Baginda menghilang, saya pergi dekat puak-puak muslimah tengok mereka tengah cuci ikan darat dan ikan talapia, saya pun cakap takkan nak bagi Rasulullah makan ikan darat? Selepas itu ada orang beritahu, Rasulullah tak makan dah dia berada di alam rohani,” tambahnya lagi.
Di akhir mimpinya, Rasulullah muncul dalam keadaan sangat sedih dengan wajah hitam (gelap), memberi gambaran mendalam kepada Hadi mengenai situasi umat Islam ketika itu.
Selepas terjaga daripada tidur dalam keadaan terpinga-pinga, Hadi memutuskan untuk menghadiri Muktamar Penyatuan Islam Sedunia di Tehran, Iran.
Menurut Hadi lagi, mimpinya itu tidak pernah diceritakan secara terbuka kepada orang ramai sebelum ini dan hanya kepada pimpinan PAS seperti Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Azizi Nik Mat, Almarhum Haron Din dan Hashim Jasin.
Baca juga: