Hadi kena jelaskan tiga perkara, isu DAP antaranya

Oleh: Faiz Fadzil

ULASAN | Saya membaca penulisan terbaharu Presiden PAS Tan Sri Hadi Awang dalam Minda Presiden PAS bertajuk “Mengutamakan Cadangan DAP Membelakangi Ketetapan Allah”. Terdapat tiga perkara penting yang disentuh oleh Presiden PAS yang perlu djelaskan oleh beliau kepada umum supaya tidak berlaku penipuan dan kekeliruan.

Pertama isu berkaitan cadangan menghadkan tempoh Perdana Menteri kepada 10 tahun. Cadangan ini asalnya adalah manifesto PH (Pakatan Harapan) yang dipersetujui bersama semua parti komponen termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar Ibrahim bersikap jujur dengan menerima cadangan tersebut di saat beliau berada di puncak kuasa. Jika cadangan ini dipersetujui Anwar Ibrahim ketika beliau pembangkang, ia tidak membawa nilai tinggi. Sikap terpuji PM ke-10 ini sangat berbeza dengan PM sebelum ini yang berjanji untuk menyerahkan kuasa ketika menjadi pembangkang, tetapi menangguhkannya ketika di puncak kuasa.

Kedua adalah isu bahawa DAP adalah menentang dasar Islam sedangkan Presiden PAS lupa bahawa ketika PAS bersama DAP dalam Pakatan Rakyat sebelum ini, Presiden PAS sendiri menyatakan hukum hudud ditangguhkan sehingga isu gaji minimum dilaksanakan. Ketika itu, tidak pula PAS menuduh cadangan itu datang daripada DAP.

Berkaitan isu hukum hudud pula, PAS sendiri gagal melaksanakan ketika menjadi kerajaan persekutuan bersama Perikatan Nasional (PN). Malah RUU 355 gagal dibawa ke Parlimen untuk dipinda sepertimana didendangkan ketika menjadi pembangkang. Adakah PAS boleh lupa semua perkara ini yang menjadi sebahagian sejarah besar politik negara?

Ketiga adalah isu kumpulan yang keluar dari PAS tidak lagi berjuang untuk Islam. Mungkin Presiden PAS lupa bahawa cadangan menghadkan tempoh Perdana Menteri ini datang daripada PH yang turut dianggotai Amanah. Amanah adalah parti Islam yabg berbeza pendekatan dalam erti kata sederhana dan tidak ekstrim seperti PAS.

Hanya kerana pendekatan sederhana ini Amanah dilabel liberal atau kuda PAS sedangkan sederhana atau wasatiah adalah prinsip Islam dan ditekankan di dalam Al-Quran (al-Baqarah:143).

Selain itu, cadangan had tempoh Perdana Menteri ini adalah langkah integriti dan sifat tatakelola yang cukup tinggi yang ditunjukkan kerajaan Madani yang dianggotai Amanah dan ini bertepatan dengan prinsip Islam yang mengangkat prinsip amanah.

Penjelasan Presiden PAS terhadap tiga isu utama ini sangat penting supaya masyarakat terutama orang Islam Melayu tidak lagi dipesongkan pemikiran mereka. PAS harus bersikap pembangkang yang konstruktif dan bukan hanya membangkang dengan menunggang semua isu dikaitkan dengan agama dan kaum.

Malaysia tidak akan aman dan maju jika kita diperangkap dengan permainan agama dan kaum. Ironinya, permainan agama dan kaum ini adalah gendang penjajah.


    *** Penulis adalah Setiausaha Agung Amanah

    Anda Mungkin Berminat