KUALA LUMPUR: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana menghidupkan kembali Hadiah Bahasa.
Kali terakhir dianjurkan pada tahun 1985, akan dihidupkan kembali dengan kerjasama Public Bank Berhad (PBB).
Perkara itu diumumkan Anwar sewaktu berucap di majlis berbuka puasa bersama wakil syarikat korporat dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Dewan Tun Canselor, Universiti Multimedia Malaysia (MMU).
Dalam satu kenyataan, DBP bersedia memberi kerjasama dalam soal ini, selaras dengan tanggungjawabnya memartabat bahasa dan sastera kebangsaan.
“DBP bersedia bekerjasama melaksanakan pelbagai program yang menyumbang kepada penghasilan karya ilmiah pelbagai bidang yang bermutu dalam bahasa Melayu,” kata kenyataan itu.
Dalam pada itu, DBP turut merakamkan penghargaan kepada sektor swasta terutama Public Bank Berhad yang bersedia sebagai sebagai penaja untuk program itu.
DBP juga berharap dengan penganjuran semula Hadiah Bahasa ini dapat memperkasa bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.
“…dan meningkatkan keupayaan modal insan sejajar dengan satu daripada teras Malaysia Madani iaitu, daya cipta,” kenyataan itu dipetik.
Untuk rekod, Hadiah Bahasa merupakan sebuah anugerah yang diberikan kepada individu atau kumpulan yang memberi sumbangan besar dalam bidang bahasa dan kesusasteraan di Malaysia.
Ia diadakan untuk mengiktiraf usaha-usaha dalam memartabatkan bahasa Melayu, serta memperkaya khazanah kesusasteraan dan budaya negara.