PELAWAK Mohamad Amirullah Azmi, 36, atau Amir Raja Lawak, tidak menyangka hajatnya untuk bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya menjadi kenyataan.
Menurut media tempatan, lebih istimewa, lawatan mengejut itu turut disertai Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud ke gerai makan miliknya di Medan Selera Stadium Sultan Muhammad IV, Sabtu lalu.
Amir berkata, luahan di Facebook hanya dibuat secara gurauan, memandangkan beliau tahu kesibukan Anwar yang hadir ke Kelantan bagi Program Madani Rakyat.
“Alhamdulillah, tak sangka beliau singgah. Ingatkan PM sahaja, rupa-rupanya Menteri Besar pun ada sekali,” katanya.
Amir turut terharu apabila Anwar mengetahui kisah hidupnya, malah kedua-dua pemimpin memberi kata semangat dan sumbangan tunai.
Mengulas tuntutan gaji tertunggak RM18,000, Amir menegaskan ia bukan untuk berseronok, sebaliknya bagi menampung kos rawatan bapanya, Azmi Deris, 60-an, yang menghidap kanser usus tahap empat.
Katanya, walaupun ada cadangan membuka tabung sumbangan, beliau memilih untuk bekerja mencari rezeki dan menuntut haknya.
“Saya lelaki, ada tenaga dan mahu bantu keluarga,” ujarnya.
Terdahulu, bapanya dijadual menjalani pembedahan kedua pada Sabtu, namun Amir masih menunggu perkembangan terkini keadaan kesihatan orang tuanya.
Baca juga: