Oleh: Tyah Helmi
ARAB SAUDI: Perjalanan haji tahun ini melakar sejarah sebagai salah satu musim haji paling selamat dan teratur dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Tanpa sebarang insiden atau kemalangan besar, operasi haji 1446H berjaya diurus dengan cekap, hasil daripada perancangan rapi dan penggunaan teknologi terkini.
Menteri Dalam Negeri Arab Saudi, Putera Abdulaziz Naif mengesahkan kejayaan itu sebagai bukti komitmen kerajaan terhadap keselamatan jemaah serta inovasi dalam pengurusan ibadah haji.
“Haji 2025 (1446H) telah berakhir tanpa sebarang insiden yang dilaporkan, menjadikannya salah satu musim haji yang paling selamat dan paling cekap diurus dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
“Kejayaan ini dicapai hasil daripada usaha keselamatan yang luar biasa dan penggunaan teknologi terkini,” katanya dalam satu kenyataan oleh Aman Saudi.
Putera Abdulaziz menegaskan bahawa kejayaan pengurusan haji tahun ini adalah hasil daripada persiapan awal yang teliti, pelaksanaan tepat, pemantauan berterusan serta kesedaran tinggi daripada para jemaah seluruh dunia.
Beliau berkata, kombinasi perancangan proaktif, teknologi pintar dan kesiapsiagaan keselamatan telah mengukuhkan kedudukan Arab Saudi sebagai peneraju global dalam penganjuran haji terbesar di dunia.
“Kejayaan ini mencerminkan gabungan perancangan proaktif, teknologi pintar dan kesiapsiagaan keselamatan yang kukuh sekali gus mengukuhkan kepimpinan global Arab Saudi dalam pengurusan orang ramai serta kecekapan dan inovasinya dalam menganjurkan salah satu perhimpunan Islam terbesar di dunia,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pasukan keselamatan dan media antarabangsa yang memainkan peranan penting dalam dokumentasi serta liputan operasi haji.
Menurut beliau, simulasi kecemasan dan strategi kawalan orang ramai yang dilaksanakan sebelum musim haji membantu memastikan kelancaran perjalanan ibadah bagi lebih 1.6 juta jemaah dari 171 negara.
“Latihan-latihan (operasi) ini mensimulasikan senario kecemasan sebenar dan strategi kawalan orang ramai, sekali gus menunjukkan tahap kesiapsiagaan, profesionalisme dan komitmen Kerajaan terhadap keselamatan serta kebajikan lebih 1.6 juta jemaah dari 171 negara, dalam situasi yang memerlukan koordinasi tepat dan perancangan yang teliti,” katanya.
Menurut Pihak Berkuasa Aman Saudi bagi Statistik, 1,833,164 umat Islam telah menunaikan haji tahun ini termasuk 1,611,310 jemaah antarabangsa dan 221,854 jemaah tempatan.