Hajiji perlu umum tarikh pembubaran DUN lebih awal – BERSIH

PETALING JAYA: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menggesa Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan lebih awal tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bagi memudahkan persiapan Pilihan Raya Negeri (PRN) itu.

Jawatankuasa Pemandu BERSIH dalam kenyataan berkata, pengumuman awal akan membolehkan pengundi Sabah di luar negeri merancang perjalanan pulang untuk mengundi serta memberi masa kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pihak berkuasa untuk persiapan logistik dan keselamatan.

Selain itu, tambahnya, ia juga akan membantu semua pihak yang ingin bertanding dalam pilihan raya membuat persiapan agar kempen berjalan secara adil dan saksama.

“Ketiadaan tarikh yang jelas akan menyukarkan pengundi luar merancang perjalanan mereka, lebih-lebih lagi bagi mereka yang perlu menempah tiket penerbangan lebih awal bagi mengelakkan harga yang terlampau tinggi.

“Tiket penerbangan boleh mencecah ribuan ringgit. Ramai daripada mereka menghadapi kesukaran untuk pulang mengundi kerana kos perjalanan yang tinggi serta kekangan cuti bekerja atau belajar.

“Oleh itu, langkah proaktif perlu diambil untuk memastikan peratusan keluar mengundi yang lebih tinggi dan tidak mengabaikan hak politik rakyat Sabah yang berada di luar negeri,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut BERSIH, pada Pilihan Raya Umum Negeri Sabah ke-15 (PRN15), peratusan turun mengundi hanya sekitar 66 peratus dengan kajian turut menunjukkan peratusan mengundi yang rendah dalam kalangan generasi muda di bawah umur 30 tahun.

Tambahnya, pemantauan BERSIH sendiri mendapati hanya sejumlah 20 daripada 925 mahasiswa Sabah di Universiti Sains Malaysia (USM) yang dapat pulang mengundi pada PRU15.

“Jumlah ini bukanlah jumlah yang kecil dan Kerajaan Negeri Sabah perlu mengambil kira keperluan pengundi-pengundi Sabah yang berada di luar Sabah untuk menjalankan tanggungjawab demokratik mereka,” katanya.

Dalam masa sama, pihaknya menyeru semua pihak termasuk masyarakat sivil dan parti politik untuk bersama-sama mendesak agar pilihan raya negeri Sabah kali ini lebih telus dan inklusif dengan memastikan akses yang lebih baik kepada semua pengundi tanpa diskriminasi.

Sebelum ini, Hajiji dilaporkan berkata, PRN17 Sabah boleh diadakan pada bila-bila masa dari sekarang hingga Oktober depan.

Hajiji yang juga Presiden Gagasan Rakyat dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, Sabah masih mempunyai tempoh sehingga Oktober depan untuk membubarkan DUN bagi memberi laluan kepada PRN.

Anda Mungkin Berminat