TUARAN: Suasana pengundian yang aman di Tuaran hari ini menjadi latar kepada keyakinan Datuk Seri Hajiji Noor untuk terus mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman, yang telah diwakilinya sejak lebih tiga dekad lalu.
Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu, yang kembali bertanding di kerusi N12 Sulaman berkata, pengalamannya selama lapan penggal memberi kefahaman mendalam terhadap keperluan dan dinamika kawasan tersebut.
“Harapan saya kalau di Sulaman ini, saya amat yakin bahawa GRS akan memperolehi kemenangan.
“Saya tahu keadaan Sulaman ini yang sudah lama saya wakili, saya amat yakin. Kita tunggu saja selepas keputusan pilihan raya nanti,” katanya memetik laporan MalaysiaGazette.
Beliau berkata, meski apa pun yang berlaku keputusan akhir tetap berada di tangan rakyat.
“Apa pun keputusan rakyat saya hormati. Saya senang hati dapat mengundi bersama keluarga, saya pun tidak tahu siapa saya undi,” katanya.
Hajiji tiba di pusat pengundian bersama isterinya, Datin Seri Julia Salag, sekitar pukul 11.30 pagi sebelum selesai mengundi 10 minit kemudian.
Kerusi Sulaman kali ini menyaksikan saingan lima penjuru termasuk cabaran daripada Dr Shahnon Rizal Thajuddin (BN), Mokhtar Hussin (Warisan), Pajudin Nordin (Parti Impian Sabah) serta Tiaminah @ Siti Aminah Ele (PN).
Pada PRN Sabah ke-16 pada 2020, Hajiji mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 3,099 undi.
Selain keyakinan terhadap prestasi GRS, Hajiji turut menekankan kepentingan pengundi menunaikan tanggungjawab masing-masing.
“Kita berharap rakyat kita pengundi berdaftar, keluarlah mengundi untuk menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi,” katanya.
Beliau juga berpuas hati dengan perjalanan proses pengundian yang disifatkan tenang dan harmoni.
“Saya dapat laporan begitu baik, aman, damai, walaupun ramai calon bertanding, tetapi keharmonian itu mesti dipertahankan,” katanya.








