PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membentangkan perincian penuh berhubung Pemberian Khas 40 peratus hasil Sabah di Dewan Rakyat pada Khamis, susulan keputusan penting yang dicapai dalam Mesyuarat Khas Kabinet pada Selasa.
Dalam ucapannya semasa Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya pagi tadi, Anwar menjelaskan bahawa isu berkenaan telah dibincangkan secara mendalam dan berjam lamanya oleh Jemaah Menteri, dengan mengambil kira Perkara 112(C) dan 112(D) Perlembagaan Persekutuan.
“Maka kita putuskan secara konsensus muafakat tentang apa yang kita putuskan, dan soal 40 peratus yang kita kata, ikut 112 (C),” katanya.
Beliau turut berkata, Kerajaan Madani tidak akan membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung Pemberian Khas itu, sebaliknya memilih untuk menghormati keputusan kehakiman dan meneruskan rundingan bersama Kerajaan Negeri Sabah.
“Dan juga pertimbangan tentang keputusan kita, yang mana kita tidak rayu dengan keputusan kehakiman dan yang berhubung itu saya akan jelaskan secara lebih terperinci di Parlimen esok (Khamis),” tambahnya.
Keputusan untuk tidak merayu itu dilihat sebagai langkah berhemah dan berprinsip, selaras dengan kenyataan Jabatan Peguam Negara (AGC) pada Selasa yang menegaskan komitmen Kerajaan Persekutuan terhadap prinsip Pemberian Khas seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.
Menurut AGC, Mesyuarat Khas Jemaah Menteri pada 11 November telah meneliti penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang diputuskan dalam permohonan semakan kehakiman oleh Sabah Law Society terhadap Kerajaan Malaysia.
Dalam pada itu, Anwar turut mengingatkan rakyat agar tidak terlalu selesa dengan pencapaian negara yang semakin mendapat perhatian dunia, sebaliknya kekal bersyukur dan berwaspada terhadap cabaran luar.
Ini kerana katanya, Malaysia yang merupakan negara relatif kecil semakin menjadi perhatian dunia terhadap kemajuan yang semakin meningkat dan bakal wujudnya beberapa sentimen permusuhan luar dan iri hati.
“Kewaspadaannya kerana adakah kita dapat bertahan dari segi nasional domestik tetapi akan wujud juga tentang iri hati dan juga permusuhan luar,” katanya.








