Hak Najib Mohon Maaf, Tetapi Mahkamah Tentukan Hukuman – Penganalisis

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Permohonan maaf secara terbuka oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkaitan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak mengubah apa-apa.

Melihat kepada pandangan umum, penganalisis politik, Profesor Dr Kartini Aboo Talib berpandangan, Najib cuai dalam isu tersebut dan berhak menerima hukuman demi keadilan mahkamah dan rakyat.

“Permohonan maaf Najib ada beberapa reaksi umum. Pertama, ada yang rasa ianya ikhlas dan beliau teraniaya. Kedua, hanya meraih simpati untuk keputusan mahkamah akan datang. Seterusnya, permohonan itu tidak mengubah apa-apa.

“Ini kerana beliau telah cuai dan berhak menerima hukuman demi keadilan mahkamah dan rakyat,” katanya secara ringkas kepada Malaysia Bangkit pada Jumaat.

Selepas sahaja anak sulungnya, Datuk Mohamad Nizar membaca kenyataan tersebut menerusi satu sidang media pada Khamis, permohonan maaf Najib mendapat pelbagai reaksi.

Menerusi kenyataan dibaca Nizar, bekas Ahli Parlimen Pekan itu setiap hari berasa terluka apabila mengetahui kecurangan yang berlaku dalam syarikat strategik negara terbabit, ketika di bawah pengawasannya selaku Menteri Kewangan.

Susulan kenyataan itu, lapor media tempatan, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menerima permohonan maaf beliau dan percaya bahawa kes terbabit berpunca daripada kelemahan serta kecuaian bekas Perdana Menteri itu kerana mudah diperdayakan pihak tertentu.

Dalam pada itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mendakwa permohonan maaf Najib bukan kenyataan meraih simpati, namun ia adalah tindakan yang berjiwa besar.

Jelasnya lagi, usaha yang dilakukan Najib juga jelas memperlihatkan sikap beliau yang bertanggungjawab.

Bagaimanapun, terdapat pihak kurang percaya dengan permohonan maaf dan menganggap tindakan tersebut sebagai strategi meraih simpati serta menyelamatkan reputasi atau mampu mengubah persepsi masyarakat.

Pada 2015, Najib dituduh menyalurkan lebih RM2.67 bilion daripada 1MDB kepada akaun bank miliknya sehingga mencetuskan kritikan yang meluas daripada rakyat Malaysia.

Najib didapati bersalah pada 2020 dan dijatuhi hukuman penjara serta denda berkaitan dengan penyelewengan terbabit.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat