Hakim Besar Malaya Ganti Ketua Hakim Negara Buat Sementara

KUALA LUMPUR: Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim kini menjalankan tugas dan kuasa sebagai Ketua Hakim Negara secara pemangkuan sehingga jawatan itu diisi secara rasmi.

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pelantikan sementara itu dibuat mengikut peruntukan Perkara 131A Perlembagaan Persekutuan serta Seksyen 9(1)(b) dan Seksyen 9(3) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 [Akta 91].

Menurut kenyataan itu, tanggungjawab yang digalas Hasnah merangkumi semua kuasa dan fungsi Ketua Hakim Negara seperti termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Sekiranya Ketua Hakim Negara tidak dapat menjalankan tugas akibat sakit, berada di luar negara atau sebab-sebab lain, atau berlaku kekosongan jawatan, kuasa itu boleh dijalankan oleh Presiden Mahkamah Rayuan (PCA)
.
“Jika PCA pula tidak berada di Malaysia atau tidak dapat menjalankan tugas, maka tanggungjawab itu diserahkan kepada Hakim Besar Malaya,” menurut kenyataan itu.

Badan kehakiman turut menegaskan bahawa institusi itu akan terus kekal komited menjalankan amanah sebagai penjaga keadilan demi rakyat dan negara.

Tugas sebagai Ketua Hakim Negara kini dipangku selepas Tun Tengku Maimun Tuan Mat bersara wajib pada Rabu lalu, selepas enam tahun memegang jawatan tertinggi dalam institusi kehakiman negara.

Tengku Maimun mencatat sejarah sebagai wanita pertama yang dilantik ke jawatan itu pada 2 Mei 2019, menggantikan Tan Sri Richard Malanjum.

Sebelum bersara, beliau menyempurnakan tugas terakhirnya dengan mempengerusikan dua prosiding termasuk rayuan akhir kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat