Hakim Danish Dan Qabil Irfan Cipta Sejarah Di Red Bull Rookies Cup, ESBK 2025

PETALING JAYA: Malaysia sekali lagi mencuri tumpuan dunia perlumbaan motosikal apabila dua pelumba muda negara, Hakim Danish dan Qabil Irfan Azlan, menamatkan musim 2025 dengan pencapaian luar biasa di pentas antarabangsa.

Di Litar Misano, Itali, Hakim Danish, 18, menamatkan musim Red Bull MotoGP Rookies Cup sebagai naib juara keseluruhan, mengumpul 171 mata di belakang juara Sepanyol, Brian Uriarte (216 mata).

Walaupun gagal menewaskan Brian dalam perlumbaan akhir, Hakim mempamerkan aksi penuh semangat dan strategi yang matang.

Hakim sebelum ini mencipta detik gemilang di Mugello, Itali, apabila meraih podium pertama musim ini selepas pertarungan sengit dengan pelumba Indonesia, Veda Pratama yang tewas hanya 0.011 saat di garisan penamat.

Sementara itu, di Litar Estoril, Portugal, Qabil Irfan Azlan, 13, menamatkan perlumbaan pertama pusingan keenam Campeonato de España de Superbike (ESBK) dengan penuh bergaya apabila menewaskan pelumba Sepanyol Enzo Zaragoza dengan kelebihan 14.176 saat.

Kemenangan itu melonjakkan Qabil ke tangga teratas carta ESBK Talent dengan 227 mata, meninggalkan pencabar terdekat dari Switzerland, Arnold Alessio (181 mata).

Anda Mungkin Berminat