Hamas Desak Sidang Arab-Islam Bertindak Henti Serangan Israel

GAZA: Hamas menggesa Sidang Kemuncak Arab-Islam yang berlangsung di Doha hari ini agar mengambil tindakan segera dan tegas bagi menghentikan serangan Israel ke atas Gaza, menamatkan sekatan berpanjangan serta mempertahankan kedaulatan negara-negara Arab dan Islam.

Anggota Biro Politik Hamas, Izzat al-Risheq, menyifatkan mesyuarat itu sebagai peluang penting untuk mengubah pendirian kolektif dunia Arab terhadap pencerobohan Israel.

“Mesyuarat di Doha wajar mencerminkan konsensus bersejarah dengan negara Arab dan Islam menggembleng kekuatan bagi menghentikan peperangan di Gaza dan serangan Israel di Tebing Barat, Baitulmuqaddis, Lubnan, Syria, Yaman, Tunisia serta Qatar,” katanya.

Beliau turut mendakwa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, cuba meluaskan konflik serantau demi mencapai agenda ekstremis ‘Israel Raya’.

“Netanyahu berusaha melakar semula peta Timur Tengah berlandaskan visi ekstremis ‘Israel Raya’,” dakwanya.

Serangan udara Israel ke atas Doha pada 9 September lalu yang menyasarkan delegasi perunding Hamas turut mendapat kecaman keras daripada anggota biro politik Hamas, Basem Naim.

Serangan itu dilihat sebagai sabotaj terhadap usaha damai yang sedang dirintis.

“Rantau kita kini berada di persimpangan bersejarah, sama ada membiarkan Israel meneruskan pencerobohan atau menyatukan usaha menghentikan kekacauan yang dicetuskan Netanyahu dan kerajaannya,” katanya.

Dalam kenyataan berasingan, Hamas memaklumkan bahawa satu memorandum segera telah dihantar kepada negara-negara Arab dan Islam, Liga Arab, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Kesatuan Afrika dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Dokumen itu memperincikan cubaan Israel membunuh delegasi Hamas di Doha termasuk serangan yang meragut nyawa anak kepada ketua delegasi Khalil al-Hayya serta seorang pengawal keselamatan Qatar.

Anda Mungkin Berminat