GAZA: Hamas mengumumkan kesediaan untuk memasuki rundingan segera berhubung cadangan pelan damai Gaza yang dikemukakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, sekali gus membuka ruang baharu selepas berbulan-bulan usaha gencatan senjata menemui kegagalan.
Dalam kenyataan rasmi, Hamas menyatakan persetujuan awal terhadap dua syarat utama pelan itu iaitu pembebasan baki 48 tebusan Israel dalam tempoh 72 jam serta penyerahan pentadbiran Gaza kepada sebuah pihak berkuasa Palestin berbentuk teknokrat, dengan sokongan negara Arab dan Islam.
Bagaimanapun, kumpulan itu menegaskan penerimaan pelan berkenaan bukan tanpa syarat, sebaliknya hanya melalui rundingan bersama perantara antarabangsa.
“Isu masa depan Gaza adalah hak mutlak rakyat Palestin. Ia akan dibincangkan dalam kerangka nasional Palestin yang lebih menyeluruh,” tegas Hamas.
Pelan Trump, yang disokong Israel, turut merangkumi penamatan perang, pembebasan 250 tahanan Palestin seumur hidup serta 1,700 tahanan lain, di samping pembangunan semula Gaza di bawah pemantauan antarabangsa.
Selain itu, sebuah Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) diketuai negara Arab bakal mengawal keselamatan sementara Gaza ditadbir jawatankuasa Palestin sebelum Pihak Berkuasa Palestin yang direformasi mengambil alih.
Namun, Hamas masih menolak syarat kritikal berkaitan perlucutan senjata dan pemusnahan infrastruktur ketenteraan mereka, yang dianggap sebagai “garisan merah” sejak awal perang.
Trump memberi kata dua kepada Hamas sehingga Ahad, jam 6 petang waktu AS, untuk menerima pelan itu atau berdepan tindakan ketenteraan lebih keras.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pula menegaskan kerajaannya telah menerima kerangka pelan tersebut.
Penganalisis melihat kesediaan awal Hamas membuka peluang kepada diplomasi baharu, walaupun pertikaian dalaman antara kepimpinan politik dan komander tentera kumpulan itu dijangka menjadi cabaran utama untuk mencapai kata sepakat.
Baca juga: