Hampir 12,000kg makanan diselamat, 24,061kg sisa dikitar semula

KUALA LUMPUR: Di Jalan Raja Alang, Kampung Bharu, di sini, menyaksikan kejayaan besar Kempen Sifar Sisa @ Bazar Ramadan 2025 yang dipimpin oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata, kempen itu mengangkat usaha pengurangan sisa secara mampan menerusi dua program utama, MySaveFood dan Program Pengasingan Sisa.

“Inisiatif MySaveFood, hasil kerjasama DBKL, PEMUDA GEMA MALAYSIA, SWCorp, peniaga bazar dan Remeal berjaya menyelamatkan 11,482.89 kilogram (kg) lebihan makanan bernilai RM139,576.69.

“Selain membantu golongan memerlukan, usaha ini juga mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 21,532.28kg karbon dioksida (CO₂), menyumbang kepada kelestarian alam sekitar,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Dalam masa yang sama, Dr Zaliha berkata, Program Pengasingan Sisa memastikan lebihan makanan yang tidak dapat diselamatkan diurus secara efektif.

“Sebanyak 11,990kg sisa makanan dihantar ke pusat kompos, manakala 24,061kg sisa bukan makanan dikitar semula, menjadikan kempen ini langkah besar ke arah pengurangan pencemaran dan penggunaan sumber yang lebih cekap,” katanya lagi.

Dengan visi masa depan yang lebih lestari, katanya, kempen itu menekankan bahawa setiap kilogram yang diselamatkan adalah simbol harapan dan tanggungjawab bersama terhadap alam sekitar.

Anda Mungkin Berminat