Hampir 45,000 Pelajar Dikesan Merokok, Guna Vape – KKM

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendedahkan bahawa hampir 45,000 pelajar sekolah di seluruh negara telah dikenal pasti menggunakan produk merokok termasuk rokok konvensional dan rokok elektronik (vape) sepanjang tahun lalu.

Daripada jumlah tersebut, seramai 44,211 merupakan pelajar sekolah menengah, manakala 230 lagi adalah murid sekolah rendah.

Mereka dikenal pasti melalui penyertaan dalam Program Kesihatan Oral Tanpa Amalan Merokok (KOTAK), yang dilaksanakan sebagai sebahagian daripada usaha KKM membendung tabiat merokok dalam kalangan generasi muda.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, daripada keseluruhan pelajar sekolah menengah yang terlibat, seramai 17,172 menggunakan rokok biasa manakala 19,782 lagi menggunakan vape.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 36,870 pelajar telah menyertai intervensi berhenti merokok yang disediakan oleh kementerian.

“Bagi murid sekolah rendah pula, seramai 55 dikenal pasti merokok dan 138 menggunakan vape. Sebanyak 201 murid telah menyertai program intervensi yang sama.

“KKM komited membendung gejala merokok dan ketagihan vape dalam kalangan remaja melalui pelbagai inisiatif termasuk program pencegahan awal dan intervensi berhenti merokok yang lebih berfokus,” kata Dr Dzulkefly dalam jawapan bertulis di Dewan Negara sebagai respon kepada soalan Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Beliau berkata, antara inisiatif utama yang digerakkan oleh KKM ialah Klinik Berhenti Merokok (KBM), yang kini ditawarkan di 857 klinik kesihatan seluruh negara.

Menurut Dr Dzulkefly, perkhidmatan itu melibatkan terapi modifikasi tingkah laku, farmakoterapi atau gabungan kedua-duanya, yang dijalankan dalam tempoh enam bulan.

Sepanjang tahun lalu, seramai 38,467 perokok telah mendaftar dalam program KBM.

Daripada jumlah tersebut, 8,659 menetapkan tarikh berhenti dan 4,916 berjaya berhenti merokok sepenuhnya, mencatatkan kadar kejayaan sebanyak 56.8 peratus.

Selain pendekatan fizikal di klinik, KKM turut memperluas capaian melalui platform dalam talian JomQuit, yang menyediakan rundingan berhenti merokok secara maya oleh pengamal kesihatan bertauliah.

Dari Oktober 2024 hingga Ogos 2025, seramai 1,968 klien telah menerima sesi kaunseling melalui platform tersebut.

“Pelbagai inisiatif ini membuktikan keberkesanan program yang dirangka bagi membantu generasi muda bebas daripada ketagihan merokok dan vape, seiring aspirasi KKM untuk mewujudkan generasi bebas rokok,” ujar beliau.

Anda Mungkin Berminat