Hampir 5 dekad beroperasi, kilang Goodyear Shah Alam bakal tutup Jun depan

Setelah lima dekad beroperasi, syarikat pengeluar tayar global, Goodyear dilaporkan bakal menutup operasi di Shah Alam, Selangor lantas memberi kesan kepada lebih 500 kakitangan.

Menurut Presiden Goodyear Asia Pasifik, Nathaniel Madarang, tindakan tersebut diambil bagi seiring dengan program transformasi kumpulan, Goodyear Forward sekali gus mengukuhkan portfolio di peringkat global.

Tambahnya, tindakan itu turut membantu pertambahan keuntungan dan meningkatkan nilai untuk pemegang saham.

“Ini merupakan keputusan sukar, tetapi perlu menutup kilang pembuatan di Shah Alam pada 30 Jun 2024. Penutupan dijangka selesai sepenuhnya menjelang akhir tahun.

“Langkah penutupan kemudahan, akan ada kesan dalam kes ini apabila dianggarkan sekitar 550 jawatan dalam operasi Malaysia terjejas.

“Sesungguhnya Goodyear sangat komited melayan semua pihak terbabit dengan hormat dan penuh ketelusan semasa proses ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, penutupan tersebut merupakan satu tindakan khusus untuk memberi peluang kepada pengurangan kos tahunan sebanyak AS$1.0 bilion (RM4.7 bilion) menjelang 2025.

Untuk info, jenama tersebut telah memulakan perniagaan di Malaysia sejak 1929 sekali gus menjadi antara kilang terawal yang dibina di Shah Alam, sementara dirasmikan pada 18 Mei 1974 oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak.

Difahamkan, syarikat tersebut mencatat kerugian bersih sebanyak AS$689 juta (RM3.2 bilion), turun sebanyak 441 peratus daripada keuntungan AS$202 juta (RM949 juta) pada 2022.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat