Hamzah, Azmin Antara ‘Survivors’ Dalam BERSATU – Puad

PETALING JAYA: Di sebalik ketidakpastian hala tuju Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), timbul kumpulan yang digelar sebagai ‘survivors’, iaitu barisan pemimpin parti yang dikatakan sedang menilai semula masa depan politik mereka.

Pandangan ini dilontarkan oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Ahmad Puad Zarkashi yang berkata, kumpulan ini sedang mencari jalan lebih selamat.

Menurutnya, para ‘survivors’ percaya BERSATU tidak mampu bertahan lama sekiranya tiada langkah baharu diambil dan menyifatkan terdapat dua halangan utama yang perlu diatasi.

“Pertama mereka beranggapan parti itu tidak boleh ‘move on’ hanya jika didokong oleh BERSATU dan PAS.

“Ia perlu ‘partner’ baru yang boleh beri tambah nilai. Terutamanya ‘partner’ parti bukan Melayu yang signifikan.

“Kedua, mereka beranggapan Muhyiddin tidak boleh ‘move on’. Dia tandus idea dan perlu diganti.

“PAS anggap Hamzah pilihan terbaik. Tetapi apakah Azmin dan Hamzah boleh berkompromi?” soalnya.

Ahmad Puad berkata, nama-nama seperti Datuk Seri Hamzah Zainudin, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Radzi Md Jidin, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Datuk Wan Saiful Wan Jan disebut sebagai antara anggota utama kumpulan tersebut.

Tambah beliau, gerakan politik dalaman ini dikatakan menjadi punca timbulnya khabar angin berhubung usaha memujuk UMNO untuk berunding ‘tebuk atap’, strategi yang menimbulkan pelbagai spekulasi mengenai kemungkinan pembentukan kerajaan alternatif.

Anda Mungkin Berminat