Hamzah Zainudin Dipecat Bersatu Serta-Merta

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin, dipecat daripada keahlian parti itu berkuat kuasa serta-merta, menurut kenyataan rasmi, hari ini.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, memaklumkan keputusan tersebut dibuat oleh Lembaga Disiplin parti selaras dengan Fasal 22.5 Perlembagaan Bersatu.

Beliau berkata, tindakan itu diambil susulan dakwaan Hamzah melanggar Fasal 9.1.4 perlembagaan parti, dengan pemecatan berkuat kuasa pada 13 Februari 2026.

“Keputusan ini dibuat selepas penelitian Lembaga Disiplin dan adalah berkuat kuasa serta-merta,” katanya.

Terdahulu, satu notis pemecatan terhadap Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainudin, telah dikeluarkan dan ditandatangani oleh Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Mohd Radzi Manan.

Notis berkenaan memaklumkan bahawa keputusan pemecatan dibuat oleh lembaga yang bersidang semalam dan berkuat kuasa serta-merta.

Bagaimanapun, Hamzah diberi hak untuk mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis.

Hamzah semalam dilaporkan tidak hadir ke prosiding Lembaga Disiplin parti yang dijadualkan di Ibu Pejabat Bersatu di Petaling Jaya.

Setiausaha sulitnya, Ahmad Ikhwan Fadhli, memaklumkan Ahli Parlimen Larut itu kini berada di Sydney, Australia bagi menemani urusan pendaftaran universiti anak perempuannya.

Hamzah menerima notis untuk hadir prosiding Lembaga Disiplin pada 7 Februari lalu, yang memanggilnya berkaitan isu kritikan terhadap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta rundingan yang melibatkan presiden parti dalam Perikatan Nasional (PN).

Sebelum ini, beberapa pemimpin parti mendesak agar keahlian Hamzah dipecat susulan dakwaan beliau terbabit dalam gerakan menggesa pengunduran Muhyiddin dan mengumpul akuan bersumpah (SD) bagi mengambil alih kepimpinan Bersatu.

Bersatu sebelum ini turut mengambil tindakan pemecatan terhadap beberapa pemimpin lain yang terlibat dalam gerakan sama.

Anda Mungkin Berminat