Hannah Seru Atlet, Pasukan Rebut Peluang Dana KWASN

PETALING JAYA: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyeru badan sukan kebangsaan, atlet dan pasukan yang layak untuk memohon Dana Amanah Sukan Negara (KWASN) yang bertujuan menyokong penyertaan dalam kejohanan peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Menerusi satu hantaran di Facebook, Hannah berkata, geran ini terbuka kepada atlet individu, pasukan sukan, serta penganjur, termasuk atlet bebas yang tidak bernaung di bawah mana-mana badan sukan.

“Ia direka untuk membantu atlet menyertai kejohanan antarabangsa dan memperbaiki kedudukan ranking mereka,” katanya di Facebook.

Setakat ini, KWASN telah meluluskan 54 program dengan jumlah RM1.65 juta telah disalurkan bagi menyokong atlet dan acara sukan.

“Ia membuktikan komitmen berterusan kami terhadap bakat sukan negara,” ujar beliau.

Yeoh turut berkongsi kisah inspirasi seorang atlet muda berusia 15 tahun, Sophia Zara Mustaffa Kamal, atlet trek wanita termuda dari Subang Jaya yang menjadi contoh potensi bakat muda yang ingin disokong menerusi dana ini.

“Semangat dan ketekunan Sophia membuktikan apa yang boleh dicapai oleh bakat muda apabila diberikan sokongan sewajarnya. Saya percaya masa depan Malaysia cerah jika kita terus melabur dalam pembangunan mereka,” katanya.

KWASN menawarkan sehingga RM500,000 untuk kejohanan antarabangsa dan RM200,000 untuk kejohanan peringkat kebangsaan.

Bagi melayakkan permohonan, kejohanan perlu mendapat pengiktirafan daripada persatuan sukan kebangsaan.

Anda Mungkin Berminat