Hannah Yeoh Jelaskan Isu Selendang Ketika Hadiri Majlis di Masjid

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, menjelaskan bahawa pemakaian selendang ketika menghadiri majlis di masjid atau surau adalah sebagai tanda menghormati adab di rumah ibadat.

Beliau berkata, sepanjang bulan Ramadan ini, beliau menghadiri banyak majlis berbuka puasa di masjid dan surau, justeru memilih untuk memakai selendang sebagai tanda hormat terhadap tempat berkenaan.

“Ada apa pada sehelai selendang? Dipakai dikata sekadar wayang, tanpanya pula dituduh tidak hormat. Apa pun, asalkan hati itu tenang kerana hanya Tuhan sahaja pemberi rahmat,” katanya dalam satu hantaran di media sosial malam tadi.

Menurutnya, setiap rumah ibadat mempunyai adab tersendiri yang perlu dihormati oleh sesiapa sahaja yang hadir, tanpa mengira latar belakang.

Beliau menambah bahawa pemakaian selendang ketika berada di masjid adalah sesuatu yang membuatkan dirinya berasa selesa dan wajar dilakukan sebagai menghormati suasana tempat ibadat.

Katanya, perkara itu sering disalah fahami oleh sesetengah pihak yang mempertikaikan tindakannya memakai selendang ketika menghadiri program di masjid atau surau.

“Saya hadir di banyak majlis berbuka puasa di masjid dan surau sepanjang Ramadan. Masuk rumah ibadat, semestinya ada adab. Dan saya selesa memakai selendang. Ini yang ramai tidak faham,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat