KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang daripada Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) sebagai penghargaan terhadap kepimpinan dan sumbangan beliau dalam pembangunan sukan sepak takraw di peringkat antarabangsa.
Berdasarkan sijil penganugerahan, ISTAF memaklumkan anugerah itu diberikan bagi mengiktiraf peranan Hannah ketika menerajui Kementerian Belia dan Sukan, khususnya dalam memastikan kejayaan penganjuran kejohanan sepak takraw antarabangsa yang diiktiraf badan induk tersebut di Malaysia.
Menurut kenyataan ISTAF, anugerah itu turut menghargai perkhidmatan awam Hannah yang cemerlang, kepimpinan berwawasan serta impak jangka panjang terhadap kemajuan sepak takraw di peringkat global.
“Sebagai Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memberikan sokongan institusi yang kukuh serta kepimpinan dasar strategik bagi penganjuran Piala Dunia ISTAF 2024 yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur dari 18 hingga 26 Mei 2024.
“Beliau juga memainkan peranan penting dalam komitmen berterusan Malaysia menjadi tuan rumah Piala Dunia ISTAF 2026 yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur dari 15 hingga 24 Mei 2026,” menurut kenyataan itu pada Khamis.
ISTAF turut mengiktiraf keupayaan kepimpinan Hannah dalam memastikan penyelarasan antara agensi berjalan lancar, selain berjaya menarik penyertaan antarabangsa yang meluas serta mengekalkan tahap profesionalisme dan standard penganjuran tertinggi.
Susulan rombakan Kabinet bulan lalu, Hannah digantikan oleh Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari sebagai Menteri Belia dan Sukan.
Baca juga:








