Hantaran Palsu Berunsur 3R: MCMC Rakam Keterangan Tiga Individu

CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil langkah tegas terhadap penyebaran hantaran palsu berunsur 3R (agama, kaum dan institusi diraja) di media sosial dengan merakam keterangan tiga individu yang dipercayai terlibat dalam insiden baru-baru ini.

Kes berkenaan berkait dengan satu hantaran di Facebook dan TikTok yang mendakwa seorang wanita berbangsa Cina telah naik ke pentas utama semasa sambutan Hari Kebangsaan peringkat Negeri Perak di Ipoh.

MCMC dalam satu kenyataan berkata, dakwaan tersebut adalah tidak benar.

“Hantaran tersebut berpotensi mencetuskan ketegangan kaum serta persepsi negatif dalam kalangan masyarakat,” kata MCMC.

Rakaman keterangan dilakukan pada Rabu di tiga lokasi berbeza iaitu di Balai Polis Kuala Nerang (Kedah), Balai Polis Beserah (Kuantan), dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut (Pulau Pinang).

Turut disita bagi tujuan analisis forensik digital ialah tiga unit telefon bimbit, tiga kad SIM dan satu kad memori.

“Sebanyak tiga unit telefon bimbit, tiga kad SIM dan satu kad memori turut disita bagi tujuan analisis forensik digital,” kata kenyataan itu.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pada masa sama, MCMC menyeru orang ramai agar lebih bertanggungjawab ketika berinteraksi di media sosial.

“Orang ramai digesa supaya sentiasa mengesahkan kesahihan maklumat sebelum membuat atau menyebarkan sebarang kandungan di media sosial,” tambah kenyataan itu.

Anda Mungkin Berminat