Oleh: Kamilia Ali
PAHANG: Dasar syarikat yang memisahkan mahupun menafikan hak suami isteri adalah haram dan berdosa.
Menurut Mufti Pahang, Prof Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim, tindakan sebegitu boleh menyebabkan pasangan suami isteri terlibat dalam gelumang maksiat dan mereka berada dalam penderitaan.
“Syarikat yang berjaya ialah syarikat yang berjaya menyediakan hak asasi manusia berupa tempat tinggal bersama suami isteri sepanjang masa dan sistem saraan yang jelas dan berpatutan tanpa diskriminasi.
“Jika dasar pemisahan suami isteri dan anak-anak terjadi atas nama syarikat, sesungguhnya syarikat tersebut telah melampaui batas,” katanya menerusi kenyataan dikeluarkan Jabatan Mufti Negeri Pahang.
Beliau berkata, jika sekiranya perkara tersebut berlaku, pihak berkuasa masih sukar untuk bertindak kerana prosedur memerlukan risikan, pengakuan siasatan dan pembuktian yang kukuh.
“Syarikat yang terkait dengan akidah dan syariah yang salah, atau amalan tasauf yang diselewengkan, mereka hendaklah bertaubat.
“Mereka hendaklah mendedahkan amalan-amalan mereka supaya boleh para alim ulama memberikan pandangan dan saranan. Manakala, jika disembunyikan segala tuduhan akan terus berlaku kepada syarikat itu,” jelasnya.
Oleh itu, syarikat tidak boleh mengaitkan ketaatan kepada syarikat sebagai ketaatan kepada agama kerana tindakan tersebut seperti menggunakan agama untuk kepentingan syarikat.
Masyarakat dinasihatkan tidak menjatuhkan hukuman ke atas mana-mana syarikat sehingga disahkan oleh siasatan pihak berkuasa bahawa mereka melakukan kesalahan di atas.