Oleh: Muzammil Khairi
ULASAN | Ada beberapa berita baik yang kita boleh sambut dikala banyak berita buruk yang sering kita dengar berkenaan ekonomi kita pada ketika ini dan masa-masa yang mendatang.
Cuma, situasi dunia ketika ini tidak membuatkan saya seronok untuk menaip perihal perkara-perkara baik. Hal ini kerana, kita perlu bersedia dengan pelbagai kemungkinan yang akan berlaku di masa depan.
Apa-apapun, saya ambil inisiatif juga untuk cerita sedikit berkenaan situasi semasa pasaran kewangan negara.

Pasaran ekuiti iaitu Bursa Malaysia pada minggu lepas mencatatkan aliran keluar bersih dana asing sebanyak RM168.3 juta, sekaligus melebarkan jumlah aliran keluar dana asing untuk bulan Mac sebanyak -$122.1 juta.
Namun, Bursa Malaysia semalam kembali mencatatkan aliran masuk bersih dana asing sebanyak RM107 juta ($27 juta) lalu mengurangkan defisit aliran bersih dana asing kepada $95 juta, dengan pembelian kasar berjumlah $488.35 juta.
Pada ketika Bursa Malaysia mecatatkan aliran bersih dana asing, pasaran IDX mencatatkan aliran keluar sebanyak -$40 juta, manakala PSE pula mencatatkan aliran keluar sebanyak -$12.62 juta.
Hanya SET sahaja yang sama dengan Bursa Malaysia, mencatatkan aliran masuk bersih dana asing sebanyak $18.99 juta. Bagaimanapun, SET juga masih mencatatkan aliran keluar sebanyak -$1.13 billion bagi dagangan bulan Mac.
Ini bermaksud bahawa pasaran ekuiti negara kira berada dalam keadaan lebih baik berbanding pasaran-pasaran ekuiti negara membangun iaitu Thailand, Indonesia dan Filipina.

Dalam perkembangan lain, pasaran bon negara kita pada hari Rabu (18/3/2026) mencatatkan paras tertinggi pegangan dana asing dalam sejarah iaitu sebanyak RM304.35 billion, iaitu RM2.074 billion lebih tinggi berbanding paras tertinggi yang dicatatkan pada 18 Disember 2025.
Dengan itu, pasaran bon negara telah mencatatkan pembelian bersih bon oleh dana asing YTD sebanyak RM3.56 billion.
Ini menunjukkan bahawa pasaran bon negara kita masih lagi mendapat tempat dalam kalangan pelabur pasaran pendapatan tetap asing, meskipun pasaran bon Thailand mencatatkan aliran keluar dana asing sebanyak $1.2 billion untuk bulan Mac sahaja dan penjualan bon global telah mencatatkan aliran keluar sebanyak $2.5 trillion.
Dalam pada masa yang sama, ianya membantu prestasi ringgit keatas matawang negara-negara lain, dengan Goldman Sachs mengunjurkan bahawa Ringgit akan menjadi matawang terbaik Asia buat tahun ketiga berturut-turut (2024, 2025 & 2026).
Nasib matawang kita pula tidak seperti Peso, iaitu matawang Filipina yang sudah mencecah ke paras $60, tertinggi dalam sejarah mereka. Ini disebabkan oleh kedudukan mereka sebagai pengimport bersih petroleum dengan 100% import mereka melalui Selat Hormuz.
Perkembangan sebegini memberi sedikit senyuman kepada kita, dikala kebimbangan yang kuat berkenaan kemampuan negara mendapatkan bekalan minyak bagi memenuhi keperluan domestik.

Dalam masa terdekat ini, kejutan demi kejutan akan berlaku. Harga runcit RON97, RON95 dan Diesel akan terus meninggi.
Sedikit berita baik berkenaan minyak ini, harga MOGAS95 dan 10ppm sulfur diesel telah turun mendadak semalam. Harga MOGAS95 turun daripada $170 setong kepada hampir $140 setong. Diesel pula telah turun daripada $240 setong kepada $220 setong.
Meskipun penurunan ini menggembirakan, harga bahan api kenderaan yang diapungkan tetap akan lebih tinggi pada minggu ini berbanding minggu lepas.
Semoga yang baik-baik sahaja buat kita semua di masa mendatang, In shaa Allah.
***Penulis adalah penganalisis ekonomi dan sentiasa mengupas isu terkini di media sosialnya








