Harga beras putih import diselaraskan RM2,600 per metrik tan mulai 15 Mei

OIeh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) hari ini mengumumkan pelarasan harga buat Beras Putih Import (BPI) di seluruh negara sebagai langkah proaktif untuk menjamin kestabilan bekalan serta mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat.

Menerusi kenyataan media KPKM hari ini, pelarasan harga tersebut merupakan hasil sesi libat urus bersama Padiberas Nasional Berhad (BERNAS), dengan mengambil kira pelbagai faktor semasa termasuk perkembangan pasaran global dan keperluan memastikan kelangsungan rantaian bekalan makanan negara.

“Bermula 15 Mei 2025, harga BPI di semua pintu gudang BERNAS di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak akan diselaraskan kepada RM2,600 per metrik tan,” katanya.

Ini merupakan pelarasan kali kedua selepas harga BPI diturunkan daripada RM3,000 kepada RM2,800 per metrik tan pada 1 Disember 2024.

Jelas KPKM lagi, program subsidi BPI oleh Kerajaan Persekutuan bagi negeri Sabah dan Sarawak pula akan diteruskan seperti biasa.

“Langkah ini jelas mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI yang berteraskan prinsip keprihatinan dan kesejahteraan rakyat untuk memastikan makanan ruji negara kekal mampu milik, mudah diperoleh, dan sentiasa mencukupi,” ujarnya.

KPKM turut memaklumkan bahawa kejayaan ini didorong oleh pendekatan strategik BERNAS dalam mempelbagaikan sumber bekalan beras dari pelbagai negara termasuk Vietnam, Thailand dan Myanmar, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada satu pasaran tunggal.

Kementerian juga akan terus memantau perkembangan pasaran dan memastikan dasar yang digariskan kekal berpaksikan kepentingan rakyat serta keterjaminan makanan negara.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat