Harga Makanan Dunia Dijangka Naik Jika Konflik Asia Barat Berlarutan – FAO

ITALI: Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) memberi amaran bahawa harga makanan global berpotensi terus meningkat sekiranya konflik di Asia Barat khususnya di Iran berpanjangan.

Menurut kenyataan FAO pada Jumaat, harga makanan dunia pada Mac mencatatkan paras tertinggi sejak September tahun lalu.

Lonjakan itu didorong oleh kenaikan harga tenaga dan boleh melonjak lagi jika ketegangan berlarutan.

Ketua Ahli Ekonomi FAO, Maximo Torero berkata, setakat ini kenaikan harga masih sederhana kerana bekalan bijirin global masih mencukupi.

“Jika konflik berlanjutan melebihi 40 hari dan kos input kekal tinggi, petani mungkin mengurangkan penggunaan input, mengurangkan kawasan tanaman atau beralih kepada tanaman yang kurang memerlukan baja.

“Keputusan ini akan menjejaskan hasil pengeluaran pada masa hadapan serta mempengaruhi bekalan makanan dan harga komoditi untuk baki tahun ini dan tahun hadapan,” katanya.

FAO, yang mengukur perubahan harga komoditi utama dunia, meningkat 2.4 peratus berbanding Februari.

Ia juga satu peratus lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu, namun masih hampir 20 peratus lebih rendah daripada paras puncak pada Mac 2022 ketika perang Ukraine tercetus.

Anda Mungkin Berminat