WASHINGTON: Harga minyak dunia merosot selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menangguhkan serangan ketenteraan terhadap Iran yang sebelum ini dirancang pada Selasa.
Harga minyak mentah penanda aras global Brent dilaporkan susut daripada AS$112 setong kepada sekitar AS$109 selepas kenyataan itu dimuat naik Trump menerusi platform Truth Social lewat petang Isnin.
Sebelum pengumuman tersebut, pasaran tenaga global mengalami turun naik ketara susulan ketegangan berterusan di Asia Barat, khususnya selepas Iran bertindak menutup Selat Hormuz sebagai tindak balas terhadap serangan Amerika Syarikat dan Israel sejak 28 Februari lalu.
Selat Hormuz merupakan laluan strategik dunia yang mengendalikan hampir 20 peratus penghantaran minyak mentah dan gas asli cecair global.
Pasaran minyak dilihat sangat sensitif terhadap sebarang perkembangan berkaitan rundingan damai atau kemungkinan konflik lebih besar yang boleh menjejaskan pembukaan semula laluan tersebut.

Terdahulu, harga minyak melonjak selepas Trump memberi amaran keras kepada Iran dengan menyatakan “masa semakin suntuk” dan menggesa Tehran bertindak segera bagi menamatkan konflik.
Menurut laporan media antarabangsa, Trump dijadual mengadakan mesyuarat bersama penasihat keselamatan tertinggi AS pada Selasa bagi membincangkan pilihan tindakan ketenteraan terhadap Iran.
Namun, harga minyak kembali menurun selepas media Iran melaporkan Washington bersedia mempertimbangkan kelonggaran sementara terhadap sekatan eksport minyak mentah Iran sepanjang proses rundingan berlangsung.
Trump kemudiannya memaklumkan bahawa “rundingan serius” sedang dijalankan dan beliau diminta oleh pemimpin Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) supaya menangguhkan tindakan ketenteraan terhadap Iran.
Beliau turut memberi bayangan kemungkinan satu perjanjian yang “boleh diterima” akan dicapai, namun menegaskan AS tetap bersedia melancarkan serangan berskala besar sekiranya rundingan gagal.

Dalam perkembangan berkaitan, ketegangan geopolitik itu turut memberi kesan kepada pasaran kewangan global apabila kos pinjaman kerajaan di beberapa negara meningkat akibat kebimbangan terhadap inflasi dan kenaikan harga tenaga.
Pakar ekonomi tenaga dari Rystad Energy, Claudio Galimberti berkata situasi semasa amat membimbangkan dan dijangka bertambah buruk sekiranya Selat Hormuz terus ditutup.
“Kita mungkin berdepan musim panas yang sukar sekiranya laluan itu tidak dibuka semula,” katanya.
Sementara itu, syarikat penerbangan tambang murah Ireland, Ryanair memaklumkan konflik Asia Barat mewujudkan ketidaktentuan ekonomi terutama melibatkan kos bahan api penerbangan.
Dalam perkembangan lain, Emiriah Arab Bersatu pada Ahad mendakwa satu serangan dron mencetuskan kebakaran berhampiran loji tenaga nuklear Barakah di Abu Dhabi.
Menurut pihak berkuasa UAE, dua dron berjaya dipintas manakala sebuah lagi terkena generator elektrik di luar perimeter loji tersebut, namun tiada kecederaan atau kebocoran radiasi dilaporkan.
Baca juga:








