MIAMI: Harga minyak dunia merosot dalam dagangan awal pagi Selasa di Asia selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump memberi bayangan bahawa konflik yang sedang berlangsung akan berakhir dalam masa terdekat.
Penanda aras minyak global, Brent crude oil susut kira-kira 8.5 peratus kepada AS$92.50 setong, manakala minyak dagangan Amerika Syarikat, West Texas Intermediate turut jatuh sekitar 9 peratus kepada AS$88.60 setong.
Bagaimanapun, harga minyak masih kekal kira-kira 30 peratus lebih tinggi berbanding paras sebelum tercetusnya konflik berkenaan.
Penurunan harga itu berlaku selepas Trump dalam ucapannya pada Isnin menyatakan bahawa peperangan tersebut dijangka berakhir “tidak lama lagi”.
Menurut beliau, situasi ketenteraan kini semakin terkawal selepas banyak kemudahan peluru berpandu musuh berjaya dimusnahkan.
“Dalam masa seminggu mereka sebenarnya hampir pasti akan menyerang kami. Mereka mempunyai lebih banyak peluru berpandu daripada yang dijangkakan dan bersedia melancarkan serangan besar ke atas Timur Tengah dan Israel,” katanya.
Trump turut mendakwa kira-kira 80 peratus tapak pelancaran peluru berpandu musuh telah dimusnahkan, sekali gus mengurangkan kemampuan serangan pihak lawan.
Beliau juga memuji keupayaan tentera Amerika Syarikat yang menurutnya berjaya memintas kebanyakan peluru berpandu dan dron musuh serta menyerang lokasi pengeluaran dron berkenaan.
“Peluru berpandu sebahagian besarnya telah dilumpuhkan, dron juga berjaya ditembak jatuh dan kami sedang menyerang lokasi pengeluaran dron mereka,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, pasaran saham Asia turut menunjukkan pemulihan awal susulan penurunan harga minyak.
Indeks utama Jepun, Nikkei 225 meningkat 2.8 peratus, manakala indeks Korea Selatan, KOSPI melonjak lebih 5 peratus.
Sebelum ini, pasaran Asia terjejas teruk berikutan lonjakan harga minyak kerana banyak negara di rantau itu merupakan pengimport utama minyak dari negara Teluk.
Trump berkata, apabila konflik itu berakhir kelak, dunia akan menjadi lebih selamat.
“Kita akan mempunyai dunia yang jauh lebih selamat sebaik sahaja semuanya selesai, dan ia akan selesai dengan cepat,” katanya.
Baca juga:








