Oleh: Adeysham Nor
ULASAN | Perikatan Nasional (PN) cadang nak letak harga lantai padi RM3,000 per tan dalam manifestonya.
Hari ini pula, badan bukan kerajaan (NGO) PESAWAH kata mereka sanggup lepaskan semua subsidi input, baja, racun, diesel, asalkan dapat harga RM3,000 tu.
Saya tak nak ulas dari sudut politik. Kita tengok dari sudut Kerajaan, yang kena jaga seluruh rantaian dari pesawah ke pengilang ke pemborong ke pengguna.
Pertama – Kalau harga lantai jadi RM3,000, harga beras memang akan naik. Boleh pergi sekitar RM6.50 sekilo.
Ini bukan teori. Ini kiraan kos realiti. Soalan paling asas, rakyat sanggup ke?
Beras ni makanan ruji. Bukan barang mewah. Bila naik macam ni, dia terus tekan kos hidup semua orang.
Kedua – Struktur pasaran kita sekarang masih beri pilihan kepada rakyat.
BERNAS masih pengimport tunggal beras dengan purata harga sekitar RM2.20 – RM3.20 sekilo dan kuota import ini dikawal sepenuhnya oleh Kerajaan.
Maknanya hari ini, rakyat masih ada “safety net”, masih ada beras lebih murah di pasaran.
Tapi kalau harga tempatan naik ke RM6 dan kita selaraskan harga import sekali ke RM6, habislah. Tak ada lagi pilihan beras mampu milik. Semua orang kena beli mahal.

Ketiga – Memang betul, BERNAS boleh menjana keuntungan daripada import. Secara teori, keuntungan ini boleh digunakan untuk subsidi silang, yang murah bantu yang mahal.
Tapi kalau kira betul-betul, ada had dia. Kalau jurang harga terlalu besar, keuntungan itu tak cukup untuk tampung keseluruhan pasaran. Akhirnya Kerajaan tetap perlu masuk dengan subsidi harga beras.
Maknanya beban fiskal akan naik mencanak. Setiap RM1 yang nak disubsidi, belanjanya RM2.4 billion.
Keempat – ini yang ramai terlepas pandang. Bila beza harga antara dalam negara dan luar negara terlalu besar, risiko beras seludup akan meningkat dengan ketara.
Bayangkan beras luar boleh masuk sekitar RM3, tapi dalam negara jual RM6. Margin dia terlalu besar. Akan ada pihak ambil peluang bawa masuk beras secara haram.
Bila ini berlaku, pasaran jadi tidak terkawal, lambakan padi tempatan berlaku, kerajaan hilang kawalan harga dan penguatkuasaan jadi jauh lebih sukar
Akhirnya dasar yang nak bantu pesawah boleh jadi makan diri sendiri.
Kelima – Kalau kita cuba “betulkan” dengan cara jual beras import mahal (contoh RM6) dan guna keuntungan untuk subsidi semula, secara kiraan pun ia tidak menyelesaikan sepenuhnya.
Anggaran mudah menunjukkan subsidi silang mungkin hanya mampu turunkan harga sekitar RM1 lebih sahaja. Maknanya harga beras masih berada sekitar RM4.50 hingga RM5 sekilo, tetap lebih tinggi daripada hari ini.
Jadi rakyat tetap menanggung kenaikan.

Kesimpulan mudah: Masalah cadangan RM3,000 ini bukan pada niat ‘baik’ nak bantu pesawah. Masalahnya pada kesan berantai:
harga padi naik → harga beras naik → rakyat terbeban → risiko seludup meningkat → kerajaan terpaksa tambah subsidi → sistem jadi tidak stabil
Sebab itu, dari sudut Kerajaan, idea ini tidak sesuai dilaksanakan secara mendadak tanpa kajian impak yang teliti. Pendekatan yang lebih realistik ialah: naikkan pendapatan pesawah secara berperingkat, tingkatkan produktiviti, gunakan keuntungan import secara bersasar sepertimana sekarang Bernas kongsi 30 peratus untung bersihnya pada pesawah dan pastikan rakyat terus ada akses kepada beras mampu beli.
Akhirnya, dasar makanan ruji bukan sekadar soal harga lantai padi. Ia soal keseimbangan, antara julat harga beras dunia, kebajikan pesawah dan pengguna, kelangsungan industri serta kemampuan fiskal negara.
Kepada Datuk Ibrahim Ali – apa yang Bang Mat (Datuk Seri Mohamad Sabu) buat sekarang ni dah betul dah. Cuma kalau nak ditambah ialah pemberian fleet card kepada pesawah dan pengapungan harga beras tempatan untuk betulkan herotan pasaran. Ini pun sedang diperjuangkan oleh Bang Mat.
Itulah. Sejak Bang Mat dah jadi Menteri ni, dia dah tak menjerit-jerit atas pentas ceramah. Dia buat kerja senyap-senyap tapi hasilnya setakat ini, bekalan makanan asas negara masih cukup dan stabil. Harga pun masih terkawal walau dunia dalam krisis. Alhamdulillah.
***Penulis adalah pemerhati politik dan sentiasa mengulas isu semasa di media sosialnya
Baca juga:








