PUTRAJAYA: Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia terus mencatatkan penurunan, kali ini sebanyak 0.8 peratus pada September 2025, menandakan trend susut nilai yang berpanjangan sejak Mac lalu.
Laporan terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang dikeluarkan pada Rabu menggariskan bagaimana sektor pembuatan kekal sebagai pemacu utama kepada penurunan itu.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, sektor pembuatan menyusut sebanyak 2.1 peratus berbanding 4.0 peratus pada Ogos, dipengaruhi terutamanya oleh penurunan dalam pembuatan kok dan produk petroleum bertapis sebanyak 8.9 peratus serta produk elektronik dan optikal sebanyak 4.6 peratus.
Namun katanya, tidak semua sektor mencatatkan penurunan, di mana sektor pertanian, perhutanan dan perikanan melonjak 7.8 peratus, manakala sektor perlombongan meningkat 1.1 peratus, didorong oleh pengekstrakan gas asli yang mencatatkan kenaikan ketara sebanyak 8.9 peratus.
Mohd Uzir berkata, sektor bekalan air dan bekalan elektrik & gas turut menunjukkan prestasi positif, masing-masing meningkat 9.1 dan 4.6 peratus.
“IHPR meningkat 0.5 peratus secara bulanan pada September, disumbangkan oleh peningkatan dalam sektor pertanian dan perlombongan,” katanya sambil menambah bahawa sektor pembuatan juga mencatat pertumbuhan kecil sebanyak 0.3 peratus.
Dari sudut pemprosesan, beliau berkata, indeks bahan perantaraan menurun 1.2 peratus, manakala bahan mentah untuk diproses meningkat 2.4 peratus.
Secara suku tahunan, IHPR mencatat penurunan 2.4 peratus pada suku ketiga 2025, lebih perlahan berbanding penurunan 3.7 peratus pada suku sebelumnya.
Dalam konteks serantau, Malaysia berdepan cabaran yang turut dirasai oleh negara jiran.
Jepun mencatat peningkatan IHPR sebanyak 2.7 peratus, namun China dan Thailand kekal dalam zon deflasi dengan penurunan masing-masing 2.3 dan 2.4 peratus, mencerminkan kelembapan ekonomi yang berterusan di rantau Asia.
Harga komoditi utama turut mencerminkan dinamik pasaran global, di mana purata harga minyak mentah Brent menurun sedikit kepada RM284.74 setong berbanding RM285.79 pada Ogos.
Sebaliknya, harga minyak sawit mentah melonjak kepada RM4,371.50 per tan, didorong oleh kekurangan bekalan minyak sayuran lain di pasaran antarabangsa.
Dalam perkembangan yang lebih positif, Malaysia kini menerajui Jawatankuasa Sistem Statistik Komuniti ASEAN Ke-15 (ACSS15) di bawah kepengerusian ASEAN 2025.
Negara ini juga mencatat sejarah apabila menduduki tangga pertama dunia dalam Open Data Inventory (ODIN) 2024/25, mengatasi 198 negara lain yang merupakan satu pencapaian yang mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju keterbukaan data global.








