Harga RON95 dan RON97 Kekal, Diesel Naik Tiga Sen di Semenanjung

PETALING JAYA: Harga runcit petrol RON95 dan RON97 masing-masing kekal pada RM2.05 dan RM3.18 seliter, manakala harga diesel di Semenanjung Malaysia meningkat tiga sen seliter bagi tempoh 10 hingga 16 Julai 2025.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa harga runcit diesel di Semenanjung naik daripada RM2.85 kepada RM2.88 seliter, manakala harga di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter.

“Harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia masih berada pada paras yang lebih rendah berbanding harga diapungkan pada 10 Jun 2024, iaitu RM3.35 seliter.

“Kerajaan akan terus memantau perkembangan pasaran dan menyelaras harga runcit RON97 serta diesel berdasarkan pergerakan harga pasaran minyak, di samping memastikan kestabilan harga terus terjaga,” katanya.

MOF turut menjelaskan bahawa penetapan harga tersebut dibuat berdasarkan formula Mekanisme Harga Automatik (APM) yang digunakan untuk menentukan harga runcit mingguan produk petroleum.

Kerajaan juga akan terus melaksanakan langkah-langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.

Pelaksanaan penyasaran subsidi diesel bermula 10 Jun 2024 sebagai langkah kerajaan mengurangkan ketirisan dan memastikan subsidi disasarkan kepada golongan yang layak.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat