PETALING JAYA: Kerajaan meneruskan pelaksanaan penuh inisiatif pemaparan harga ubat di fasiliti kesihatan swasta secara berperingkat, sebagai langkah meningkatkan ketelusan dan menjamin hak pengguna dalam mendapatkan maklumat harga sebelum pembelian dibuat.
Menurut kenyataan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), inisiatif itu telah bermula sejak 1 Mei lalu di bawah Perintah P.U.(A) 141/2025, melibatkan klinik, hospital dan farmasi komuniti di seluruh negara.
Tempoh penguatkuasaan pendidikan selama tiga bulan yang berakhir pada 31 Julai menyaksikan sebanyak 842 fasiliti telah diperiksa dengan 57 peratus daripadanya mematuhi keperluan pemaparan harga ubat.
“Bermula 1 Ogos hingga 30 September 2025, fasa advokasi akan diteruskan, di mana fasiliti yang gagal mematuhi peraturan boleh dikenakan surat peringatan.
“Fasa kompaun pula dijadualkan bermula Oktober ini, sebelum penguatkuasaan sepenuhnya dilaksanakan pada 1 Januari 2026,” kata kenyataan itu.
Dalam kenyataan itu, KKM dan KPDN turut memaklumkan bahawa tiada arahan mahkamah dikeluarkan untuk menangguhkan pelaksanaan perintah tersebut, meskipun semakan kehakiman telah difailkan oleh tujuh pertubuhan dan seorang doktor swasta.
“Perintah tersebut kekal sah dan berkuat kuasa sehingga keputusan mahkamah dikeluarkan,” menurut kenyataan itu lagi.








