Hargai perbezaan dan rai persamaan akan lebih majukan Malaysia – PM

PUTRAJAYA: Malaysia hanya akan terus maju sekiranya seluruh rakyat melangkah bersama sebagai satu keluarga besar yang menghargai perbezaan dan meraikan persamaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian selepas bersama isteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengiringi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah ke sambutan Hari Kebangsaan ke-68 di Dataran Putrajaya.

Anwar berkata, beliau tersentuh menyaksikan lautan rakyat dari pelbagai latar belakang membanjiri Dataran Putrajaya sejak awal pagi, meraikan Hari Kebangsaan dengan penuh semangat patriotik.

“Pelbagai persembahan yang dipamerkan bukan sahaja memukau, malah menyemai nilai perpaduan, kekitaan dan cinta tanah air. Semangat ini perlu terus dipelihara demi masa depan Malaysia yang harmoni, sejahtera dan berdaya saing,” katanya.

“Merdeka! Merdeka! Merdeka!” laungnya menutup perutusan sempena sambutan tersebut.

Majlis penuh simbolik itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, selain barisan menteri kabinet.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat