Oleh: Wahida Ramlan
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengharapkan kerjasama bersama negara ASEAN dapat dikekalkan demi memastikan hubungan serantau dalam keadaan aman, stabil dan makmur.
Kenyataan itu dimaklumkan menerusi satu hantaran ketika membuat ucapan sambutan Hari ASEAN ke-57 hari ini.
“Hari ini kita menyambut Hari ASEAN ke-57, hari penting untuk mengingatkan diri kita bahawa kita mesti berdiri dan bekerjasama untuk memastikan rantau yang aman, stabil dan makmur.
“Saya berharap ASEAN terus menumpukan usaha memperkukuh perkongsian ekonomi di kalangan negara anggotanya dan menjalin masa depan yang lebih baik bersama.
“Malaysia komited untuk memperjuangkan kerjasama antara negara dalam pelbagai bidang. Selamat Hari ASEAN ke-57!” katanya.
Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara atau ASEAN ditubuhkan pada 8 Ogos 1967 dan tahun ini menandakan ulang tahun ke-57 sejak penubuhannya.
ASEAN dianggotai 10 negara terdiri daripada Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Thailand, Singapura dan Vietnam.
Tema sambutan Hari ASEAN pada tahun ini merupakan “Connectivity & Resilience” yang menumpukan kepada kekuatan dalam perpaduan dan kepelbagaian, pengalaman-pengalaman bersama dan halatuju ASEAN dalam menangani cabaran-cabaran semasa dan masa hadapan.








