PETALING JAYA: Sempena sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke-92, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga ATM atas jasa dan pengorbanan mereka dalam mempertahankan kedaulatan negara.
Dalam satu hantaran di Facebook pada Selasa, beliau menyentuh peranan penting ATM sebagai benteng keselamatan tanah air dan simbol keberanian rakyat Malaysia.
“Hari ini, seluruh warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyambut Hari Angkatan Tentera Malaysia Ke-92.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas khidmat bakti dan pengorbanan para pegawai serta anggota ATM dalam mempertahankan kedaulatan negara yang tercinta,” katanya.
Beliau turut mendoakan agar semua anggota ATM terus dikurniakan kesihatan, kekuatan dan semangat juang yang tinggi dalam melaksanakan amanah mereka.
“Penghargaan juga kepada para pesara ATM yang telah menabur bakti sepanjang perkhidmatan mereka.
“Al-Fatihah buat perajurit yang telah pergi mendahului kita. Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para solihin dan syuhada.
“Dirgahayu Angkatan Tentera Malaysia,” katanya.