PETALING JAYA: Malaysia menzahirkan rasa bangga terhadap keberanian dan pengorbanan anggota bomba yang sentiasa bersedia mara ke tengah api, pusaran banjir serta lokasi penuh risiko demi keselamatan masyarakat.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali dalam satu hantaran di Facebook mengucapkan Selamat Hari Anggota Bomba Sedunia 2026 kepada seluruh warga bomba di negara ini, sambil menekankan bahawa semangat mereka tidak pernah bergantung kepada sorakan atau pujian.
“Tidak menanti sorakan, jauh sekali meminta pujian. Tatkala orang lain berlari menyelamatkan diri, mereka mara ke tengah api, ke pusaran banjir, ke lokasi penuh risiko mempertaruh nyawa sendiri,” katanya.
Beliau berkata, di sebalik pakaian seragam merah dan topi keledar, tersimpan keberanian yang tidak tergambar.
“Di sebalik setiap siren yang bergema, terselit harapan bahawa nyawa akan diselamatkan. Hari ini, kita menzahirkan penghargaan tidak terhingga, menyanjung semangat luar biasa para anggota bomba wira negara yang tidak pernah berpaling saat khidmat ditagih,” katanya.
Armizan turut merakamkan jutaan terima kasih atas segala pengorbanan, jasa dan dedikasi anggota bomba, sambil mendoakan kesejahteraan mereka dalam menjalankan tugas.
“Walau di mana berada, saya mendoakan para anggota bomba sentiasa berada dalam jagaan-Nya dan dipermudahkan menjalankan tugas,” katanya.








