Hari Kebangsaan: Tahun ini cipta kelainan, tampilkan ‘Kakak Bomba’

Oleh: Shafira Aziz

PUTRAJAYA: Dalam beberapa hari sahaja lagi, negara bakal menyambut Hari Kebangsaan ke-67 yang bertempat di Dataran Putrajaya.

Seperti tahun-tahun yang sebelumnya, sudah tentu orang ramai bakal menyaksikan perarakan dari pelbagai kontinjen yang turut serta dalam Sambutan Hari Kebangsaan 2024 akan datang.

Kontinjen perarakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) merupakan salah satu kontinjen yang paling dinanti-nantikan kerana kemunculan ‘Abang Bomba Sado’ sering menarik perhatian orang ramai tidak kira golongan umur.

Pada tahun lalu, mereka membuat kelainan dengan menggunakan figura ‘Abang Bomba Sado’ yang memegang papan tanda tertulis ayat ‘pick-up line’ untuk menarik minat pengunjung di sana.

Antara ayat yang digunakan termasuk “api memang panas, tapi anda semua penyejuknya” dan “sayang kamu ketat-ketat” yang jelas mengundang sorakan orang ramai yang ‘cair’ dengan ayat-ayat tersebut.

Namun pada tahun ini, kontinjen JBPM dilihat bakal membuat kelainan dengan membawa ‘Kakak Bomba’ untuk berarak bersama.

Ia dapat disaksikan menerusi gambar raptai yang memaparkan beberapa orang anggota bomba berada di atas sebuah jentera yang sedang berarak sempena Hari Kebangsaan 2024 yang diadakan pada Rabu di Dataran Putrajaya.

Kemunculan seorang wanita di atas jentera tersebut jelas menunjukkan kelainan yang bakal dibawa oleh kontinjen berkenaan pada hari kejadian akan datang.

Selain JBPM, pengunjung turut dapat menyaksikan sebanyak 25 pasukan pancaragam dan tiga pasukan pergendangan serta aset berkenderaan yang akan mengiringi setiap kontinjen pada 31 Ogos depan.

Anda Mungkin Berminat