PETALING JAYA: Semangat perpaduan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum menjadi kekuatan luar biasa buat legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei ketika berhadapan dengan jaguh China, Lin Dan dalam satu perlawanan bersejarah di Sarawak suatu masa dulu.
Menerusi hantaran di Facebook miliknya pada Selasa sempena sambutan Hari Malaysia, Chong Wei mengimbau detik penuh emosi ketika beliau bangkit daripada ketinggalan besar dalam perlawanan sengit itu bukan kerana raket atau kemahiran tetapi kerana sorakan padu rakyat Malaysia.
“Pertarungan di gelanggang memang sengit tetapi kekuatan sebenar saya pada malam itu bukan datang daripada raket atau kemahiran saya tapi ia datang daripada suara penyokong yang bersatu, tanpa mengira kaum.
“Iaitu, Melayu, Cina, India, Kadazan, Dusun, Iban, Bidayuh, Orang Ulu, Melanau dan lain-lain.
“Semuanya bersorak dalam satu suara ‘Malaysia Boleh’,” katanya.
Chong Wei berkata, laungan keramat itu menjadi titik kebangkitan beliau, walaupun ketika itu sudah jauh ketinggalan 13-20 mata menentang Lin Dan di tanah airnya sendiri.
“Semangat itu masih saya rasakan sampai hari ini, berbeza kaum, berbeza negeri, berbeza budaya tetapi pada malam itu, tiada perbezaan.
“Hanya satu identiti – kita semua rakyat Malaysia.
“Itulah kemenangan sebenar malam itu. Bukan hanya di gelanggang tetapi di hati kita semua. Kemenangan yang membuktikan bahawa rakyat Malaysia boleh bersatu,” ujarnya.
Dalam nada penuh harapan, Chong Wei turut menyeru agar semangat perpaduan yang telah dibina tidak digugat oleh sentimen politik atau kepentingan peribadi.
“Jangan biarkan politik memecah-belahkan kita.
“Jangan biarkan kepentingan diri merobohkan keharmonian yang telah dibina oleh pejuang-pejuang terdahulu.
“Kepada semua rakyat Malaysia, dari Semenanjung hingga Sabah dan Sarawak, saya ucapkan Selamat Hari Malaysia,” katanya.