PUTRAJAYA: Sempena sambutan Hari Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kekuatan negara bukan hanya terletak pada institusi kenegaraan tetapi berakar daripada rakyat yang menjunjung tinggi nilai kemanusiaan, keadilan dan solidariti.
Dalam satu kenyataan sempena hari bersejarah ini, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia agar memperbaharui tekad untuk meraikan kerencaman budaya dan latar wilayah sebagai rahmat yang memperkukuh asas persaudaraan.
“Pada tanggal 16 September saban tahun, kita terus diperingatkan tentang lembaran sejarah yang telah menemukan wilayah-wilayah yang berbeza latar dan budaya ke dalam satu cita nasional yang diberikan nama Malaysia,” katanya.
Anwar menyifatkan Hari Malaysia sebagai lambang keberanian leluhur yang menolak penjajahan dan menjunjung maruah bangsa dalam sebuah kesatuan yang rencam tetapi berpadu.
“Hari besar negara ini adalah lambang serta tekad leluhur yang berani menyanggah penjajahan, melasah segala bentuk penyimpangan dan menjunjung tegas maruah bangsa dalam sebuah kesatuan yang rencam tapi berpadu.
“Ini harinya di mana kita terus-terusan memperbaharui tekad dalam meraikan kerencaman itu sebagai rahmat yang memperkukuh asas persaudaraan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa negara ini dibina atas pengorbanan generasi terdahulu yang menyalakan obor kebebasan dan amanah itu kini dipikul oleh generasi masa kini untuk terus menyemarakkan nyala perjuangan.
“Negara ini ditegakkan dengan darah, keringat dan air mata generasi terdahulu yang menyala serta membakar obor kebebasan.
“Walhasil, amanah yang dipikul kita hari ini adalah dalam memastikan obor itu terus menyemarak sebagai panduan kita menempuh tantangan di era baharu,” katanya.
Dalam nada penuh harapan, Perdana Menteri mengajak rakyat untuk menzahirkan semangat Hari Malaysia dengan memperkukuh iltizam dan cita murni demi menjadikan Malaysia sebagai contoh kepemimpinan berwibawa di rantau ini dan dunia.
“Mari bersama kita menzahirkan Hari Malaysia dengan memperkukuh iltizam dan cita murni dan komited pada sebuah kerangka yang menjunjung maruah insan, menolak kebejatan, menjauhi perpecahan dan menjadikan negara ini contoh kepemimpinan yang berwibawa di rantau ini dan di peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa Malaysia mesti terus dipertunjukkan sebagai tanah yang adil, makmur dan madani, demi warisan negara bangsa yang teguh dan bermaruah.
“Malaysia mesti terus dipertunjukkan sebagai tanah yang adil, makmur dan madani yang diwariskan kepada anak cucu sebagai negara bangsa yang teguh dan bermaruah,” ujarnya.








