PUTRAJAYA: Dalam suasana penuh istiadat dan kebesaran, Hari Pahlawan 2025 disambut hari ini di Dataran Pahlawan Negara, menghimpunkan tokoh-tokoh negara bagi mengangkat penghormatan tertinggi kepada para wira tanah air.
Majlis itu diserikan dengan keberangkatan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah, diiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ke acara bersejarah yang mengenang jasa dan pengorbanan anggota keselamatan negara.
Menurut Anwar dalam satu hantaran di Facebook, upacara kali ini tampil istimewa dengan kawalan kehormat utama oleh pasukan tentera, iringan paluan tradisional serta persembahan khas yang memperkukuh semangat perjuangan.
Katanya, antara momen yang mengesankan ialah deklamasi puisi “Darah Terpercik di Baju” dan pengisahan sejarah penuh jiwa dalam persembahan “ASP Zabri: Pejuang Saka Biru”, yang menghidupkan kembali keberanian pahlawan negara di mata generasi kini.
“Daripada lipatan sejarah ke pentas nyata, persembahan menyentuh kalbu seperti deklamasi sajak dan penceritaan tokoh wira berjaya menggugah rasa, menyuntik semangat cintakan tanah air dalam jiwa generasi muda.
“Pengorbanan para perwira akan terus terpahat sebagai tiang sejarah negara menjadi asas kepada keamanan, keselamatan dan keharmonian negara kekal kukuh dan sentiasa dipertahankan,” katanya.
Hari Pahlawan disambut pada 31 Julai setiap tahun sebagai lambang penghargaan negara terhadap pengorbanan barisan keselamatan yang telah mempertahankan kemerdekaan, kedaulatan dan keamanan Malaysia.