Hari Pekerja: Kerajaan Perlu Proaktif, Sokong Pekerjaan OKU – SBM

PETALING JAYA: Bersempena sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei, Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) menyeru kerajaan untuk memperkenalkan dasar yang lebih proaktif dan menyeluruh bagi menyokong penglibatan golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan dalam sektor pekerjaan.

Dalam kenyataan, SBM menyuarakan harapan agar kerajaan mempertimbangkan pelbagai inisiatif mesra OKU seperti insentif kepada majikan, latihan kemahiran ICT, akses kepada teknologi bantuan dan dasar pengambilan pekerja OKU yang lebih berkesan.

“Langkah ini harus merangkumi pelepasan cukai, geran aksesibiliti, subsidi latihan, sistem bank peralatan teknologi dan dasar pengambilan pekerja OKU yang lebih berkesan,” jelas kenyataan tersebut.

Walaupun ramai pekerja OKU penglihatan telah membuktikan kemampuan mereka dalam pelbagai bidang profesional seperti pendidikan, khidmat pelanggan dan sektor kerajaan, SBM menekankan bahawa masih terdapat golongan OKU penglihatan khususnya lepasan sekolah dan graduan yang menganggur serta menghadapi cabaran kos sara hidup yang semakin tinggi.

Seiring dengan itu, SBM turut menggesa kerajaan agar menyediakan sokongan bersasar seperti latihan keusahawanan dan akses digital inklusif untuk meningkatkan kualiti hidup serta kebolehpasaran golongan ini.

“Biarlah Hari Pekerja ini menjadi peringatan bahawa kemajuan sebenar negara hanya tercapai apabila tiada sesiapa pun dipinggirkan,” ujar kenyataan tersebut lagi, sambil menekankan bahawa setiap rakyat, tanpa mengira keupayaan, wajar diberi peluang untuk menyumbang di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI.

SBM turut merakamkan penghargaan kepada para pekerja OKU penglihatan atas sumbangan mereka terhadap pembangunan negara serta kepada majikan yang bersikap inklusif dalam tenaga kerja mereka.

Anda Mungkin Berminat