KINABATANGAN: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 10 Januari 2026 (Sabtu) sebagai Hari Penamaan Calon (HPC) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, Sabah.
Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, proses penyerahan kertas penamaan calon akan berlangsung dari pukul 9 pagi hingga 10 pagi di Pusat Penamaan Calon (PPC) Dewan Sri Lamag, Kinabatangan.
Beliau berkata, kertas penamaan calon boleh diserahkan oleh calon bersama pencadang dan penyokong atau mana-mana dua individu daripada mereka.
Malah, ia juga boleh diwakili oleh salah seorang daripada tiga pihak berkenaan.
“SPR menasihatkan bakal calon supaya membuat semakan awal borang pencalonan dengan Pejabat Pegawai Pengurus Pilihan Raya atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Sabah sebelum hari penamaan calon.
“Bayaran deposit juga digalakkan dibuat lebih awal dan resit pembayaran perlu dibawa sebagai bukti pada hari penamaan calon,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Khairul turut mengingatkan calon yang mewakili parti politik supaya mengemukakan surat kebenaran penggunaan simbol parti ketika menyerahkan kertas penamaan calon.
Selain itu, beliau berkata, calon yang telah membayar deposit bahan kempen adalah tertakluk kepada Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 [Akta 5] serta undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan (PBT).








